Bekas ahli NGO direman minta rasuah RM48,000

Suspek wanita berusia 42 tahun direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan berjumlah RM48,000.
Suspek wanita berusia 42 tahun direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan berjumlah RM48,000.
A
A
A

MELAKA - Bekas ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita direman lima hari selepas disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM48,000 daripada seorang ahli perniagaan.

Perintah reman bermula Khamis sehingga Isnin ini dikeluarkan oleh Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri terhadap suspek berusia 42 tahun yang juga bekas wartawan di negeri ini.

Menurut sumber, suspek yang telah berkahwin dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang ahli perniagaan sebagai balasan bagi mendapatkan pengurniaan Datuk Seri sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran sebuah negeri pada tahun lalu.

"Siasatan awal mendapati wang rasuah yang diterima suspek dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya dan disyaki berlaku puluhan transaksi kemasukan wang dari 2022 hingga 2023," katanya.

Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Melaka di sini kira-kira jam 9 pagi setelah ditahan di Pejabat SPRM Melaka pada jam 3.45 petang Rabu untuk memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

"Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun," ujarnya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!