Pelajar semester 3 UiTM wajib ikuti Kursus Integriti Anti Rasuah
SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengumumkan pelaksanaan Kursus Integriti Anti Rasuah (KIAR) membabitkan lebih 4,000 penuntut semester tiga tahun ini di universiti berkenaan.
Pelaksanaan KIAR bermula pada Oktober ini sehingga Februari tahun depan itu sempena Hari Bertemu Pelanggan Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar (HEP), Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, program KIAR itu hasil Kolaboratif strategik antara Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
"Kursus ini sebelum ini ditawarkan sebagai subjek elektif di peringkat sijil, diploma, dan sarjana muda pada tahun 2022, sebelum diperkukuh menjadi salah satu Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) mulai tahun lalu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mohd Sazili berkata, kursus itu adalah komponen penting dalam membina organisasi beretika dan berdaya saing.
"Pelaksanaan KIAR sebagai kursus wajib dalam MPU bermula dengan kemasukan pelajar semester satu sesi 2023/2024 yang akan mengikuti kursus (KIAR) pada semester tiga nanti.
"Ini satu langkah penting dalam mendidik generasi muda tentang pentingnya nilai integriti," jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Dr Mohd Nor Hajar Hasrol Jono memaklumkan, pelaksanaan KIAR akan dipimpin oleh Pusat Kokurikulum dan Unit Kokurikulum di setiap kampus UiTM dengan sokongan penuh daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEP).
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan pengajaran dan pembelajaran KIAR berjalan lancar serta mencapai objektif ditetapkan.
"Kursus ini akan dijalankan selama 14 minggu dengan dua jam kelas kokurikulum setiap minggu, memberikan peluang kepada penuntut untuk mendalami dan menerapkan nilai-nilai integriti dan anti-rasuah dalam kehidupan harian mereka.
"Selain itu, Hari Bertemu Pelanggan ini turut memberi pendedahan kepada pelajar semester satu hingga tiga, terutamanya pelajar baharu, mengenai modul Kesatria Negara yang merupakan elemen penting dalam DNA UiTM.
"Modul ini merangkumi Kesatria Kembara dan Kesatria Brass Band bertujuan membentuk pelajar UiTM yang berjati diri kukuh dan berketrampilan tinggi," tambah beliau.
Beliau memberitahu, program itu melibatkan penyertaan pelbagai persatuan dan kelab termasuk Kesatria Negara, Kesatria Kembara, Kesatria Brass Band, PALAPES Darat, Laut dan Udara, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Kor Sukarelawan Polis (SUKSIS), Siswa Bomba Bantuan, serta Badan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
"UiTM, melalui Jabatan HEP dan Pusat Kokurikulum sentiasa proaktif dalam menawarkan program-program kokurikulum dan kemahiran insaniah.
"Program ini bukan sahaja merangkumi aspek akademik, kerohanian, kebudayaan, dan pembangunan diri, malah program bercirikan ketahanan mental dan fizikal dengan latar belakang kemahiran ketenteraan bertujuan melahirkan mahasiswa berintegriti serta berdisiplin tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!