Nahas pelajar UiTM: MB Terengganu rakam ucapan takziah

Ahmad Samsuri menzahirkan ucapan takziah atas tragedi menimpa tiga penuntut UiTM Dungun yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pantai Sura, Dungun pada Rabu.
Ahmad Samsuri menzahirkan ucapan takziah atas tragedi menimpa tiga penuntut UiTM Dungun yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pantai Sura, Dungun pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah atas tragedi menimpa tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pantai Sura, Dungun pada Rabu.

Ahmad Samsuri berharap agar kesemua waris mangsa kemalangan tabah dan cekal dengan ujian menimpa.

"Turut berdukacita dengan tragedi kemalangan yang melibatkan empat orang pelajar UiTM Dungun, Terengganu malam tadi.

"Tiga daripadanya meninggal dunia manakala seorang sudah stabil dan sedang dirawat di Hospital Dungun. Difahamkan kesemua mangsa berasal dari luar Terengganu.

"Takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa atas kejadian yang menyayat hati ini. Semoga diberi kesabaran dan kekuatan atas ujian yang menimpa.

"Semoga kesemua mangsa yang meninggal dunia juga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya menerusi hantaran di media sosial Facebooknya, pada Khamis.

Tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang parah apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua buah motosikal dinaiki mereka di Jalan Pantai Sura, di sini pada Rabu.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin, Ku Adib Aizad Ku Azmi, masing-masing berusia lingkungan 20-an manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan, 20 mengalami kecederaan parah.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, dalam kemalangan 7.20 malam itu, empat penuntut yang menunggang dua motosikal, dirempuh SUV dipandu seorang wanita.

Seorang lagi rakan mangsa yang parah ialah Mohd Ammar Danish sedang dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, pihak polis menerima laporan kemalangan jam 7.35 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah SUV jenis Honda CRV dan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC.

Katanya, suspek wanita berusia 49 tahun itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!