[VIDEO] Wanita disyaki langgar pelajar UiTM direman empat hari
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita yang merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun malam semalam, direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman hingga Ahad terhadap suspek berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Suri rumah yang mempunyai tiga anak dan dipercayai mengalami masalah mental itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini pada 9 pagi tadi dalam keadaan seperti terpinga-pinga.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam kejadian pada 7.35 malam tadi, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Beliau berkata, tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.
Manakala Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.
Wan Rukman berkata, difahamkan kejadian berlaku ketika keempat-empat mangsa selesai makan malam dan dalam perjalanan pulang ke kampus.
"Siasatan awal mendapati suspek yang dipercayai kurang siuman dan mangsa datang dari arah yang sama iaitu dari Kuala Dungun ke Teluk Gadung.
"Ketika sampai di lokasi kejadian suspek yang berasal dari Kampung Sura Tengah, Dungun melanggar bahagian belakang motosikal mangsa menyebabkan tiga daripadanya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat patah tulang leher, cedera di kepala dan dada manakala seorang lagi masih dirawat di Hospital Dungun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!