Bapa Altantuya sokong Azilah tidak dihukum gantung

Shaariibuu Setev
Shaariibuu Setev
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bapa kepada model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh pada 18 tahun lalu, membuat kejutan apabila menyokong permohonan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, supaya tidak dikenakan hukuman gantung.

Ia sekali gus menyelamatkan nyawa pembunuh anaknya itu, daripada hukuman tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, mempertimbangkan surat itu sebelum membuat keputusan.

Semasa hujahan semakan hukuman, peguam, J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah, 48, berkata, Dr Shaariibuu Setev, 76, tidak membantah sekiranya hukuman terhadap bekas komando polis itu diganti kepada pemenjaraan seumur hidup.

Ketika membaca surat bertulisan tangan dalam bahasa Monggolia, Kuldeep berkata, Shaariibuu menulis secara rasmi untuk meminta mahkamah memberikan hukuman yang lebih ringan.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga telah mengisytiharkan bahawa, ‘nyawa adalah suci’ dengan menekankan semua insan mempunyai hak untuk wujud.

“Bukan sahaja untuk Azilah, sebaliknya bapa mangsa turut membuat sokongan yang sama terhadap bekas anggota polis, Koperal Sirul Azhar Umar yang kini berada Australia,” katanya.

Sementara itu, peguam pemerhati, Sangeet Kaur Deo bagi pihak keluarga Altantuya, mengesahkan perkara itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Sangeet Kaur berkata, Shaariibuu memaklumkan telah menulis surat itu pada Ogos lalu termasuk kepada Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Shaariibuu menganggap, Azilah meringkuk di penjara selama 40 tahun atas kesalahan yang dilakukan adalah adil dan boleh diterima oleh ahli keluarganya.

“Cuma dia tidak setuju jika hukuman mati dibuat meskipun kejadian tragis telah menimpa anaknya,” kata peguam itu.

Sementara itu, di luar mahkamah, Kuldeep berkata, Azilah yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, dijangka selesai menjalani hukuman pada tahun 2034.

“Dia lega kerana diberi peluang kedua dan ini merupakan kali pertama ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian bunuh, menyokong supaya pesalah tidak dikenakan hukuman mati,” katanya.

Pada Khamis, Azilah yang membunuh Altantuya pada 18 tahun lalu, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, menggantikannya kepada penjara selama 40 tahun bermula tarikh tangkap 1 November 2006 dan dikenakan 12 sebatan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan permohonan semakan hukuman Azilah untuk mengetepikan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!