Perak catat kematian ke-13 akibat denggi tahun ini

Sivanesan (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar pada Khamis.
Sivanesan (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Perak mencatatkan satu lagi kes kematian akibat demam denggi sehingga Minggu Epid 40/2024 menjadikan keseluruhan jumlah maut akibat wabak tersebut pada tahun ini seramai 13 orang.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, kes kematian terbaharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 46 tahun di kawasan lokaliti Taman Wing Onn di daerah Kinta.

Menurutnya, jumlah kematian tersebut mencatatkan peningkatan berbanding Minggu Epid sama pada tahun 2023 yang hanya membabitkan satu kes.

"Jumlah kumulatif kes denggi pada tahun 2024 adalah 5,956 kes berbanding tahun 2023 iaitu 2,864 kes pada tempoh yang sama, terdapat peningkatan kes sebanyak 108 peratus iaitu sebanyak 3,092 kes.

"Ada satu kematian dicatatkan. Tahun ini sebanyak 13 kes (kematian) yang mana 11 daripada kes itu berlaku di daerah Kinta. Tahun lepas hanya satu kes," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar di sini pada Khamis.

Sivanesan berkata, pada Minggu Epid 40/2024, sebanyak 58 kes denggi didaftarkan berbanding dengan 102 kes pada minggu yang sama tahun lalu.

Menurutnya, secara kumulatif dan kadar kejadian, sebanyak lapan daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tahun lalu kecuali daerah Muallim, Hulu Perak, Kerian dan Kampar.

Jelasnya, dari segi lokaliti wabak berbanding dengan tahun lalu, jumlah kes paling tinggi dicatat ialah di Kampung Air Hitam di daerah Larut, Matang Selama (LMS) iaitu sebanyak 10 kes diikuti Kolej Palapes Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) daerah Muallim sebanyak sembilan kes dan dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Jelapang Baru (6 kes).

Artikel Berkaitan:

"Tetapi berbanding dengan tahun lepas, ini adalah satu penurunan walaupun di peringkat kebangsaan Menteri Kesihatan telah menyatakan bahawa ada peningkatan kes.

"Di Perak terkawal dan Jabatan Kesihatan negeri terus akan berusaha untuk memastikan bahawa kes denggi ini dikawal dengan rapi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata, menurut laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada empat orang akan mengalami masalah kesihatan mental pada suatu ketika dalam hidup mereka.

Sehubungan itu katanya, tema 'Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja' merupakan satu topik yang amat relevan dan bersesuaian dalam memastikan kesihatan mental seimbang dalam meningkatkan kesejahteraan pekerja serta produktiviti organisasi.

Menurutnya, masalah kesihatan mental di tempat kerja ini boleh mengakibatkan kehilangan produktiviti, peningkatan kadar ketidakhadiran dan masalah urusan.

Sementara itu, beliau turut menggesa Kementerian Sumber Manusia memandang serius isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja yang tidak menyertai kesatuan sekerja.

Jelasnya, pekerja yang menyertai kesatuan dilindungi menerusi Perjanjian Bersama di antara pihak kesatuan dan majikan yang mana salah satu artikel menyentuh mengenai isu kesihatan mental.

Menurutnya, ketika ini hanya 10 peratus pekerja di Malaysia mempunyai kesatuan di tempat kerja masing-masing atau menyertai kesatuan manakala selebihnya termasuk golongan profesional dan golongan pengurusan yang tidak boleh menyertai kesatuan berdepan diskriminasi berkaitan kesihatan mental.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!