Penjawat awam tak mengaku amang seksual anak angkat
SEREMBAN - Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak angkat perempuannya yang berusia 16 tahun, Mei tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 51 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun untuk maksud seksual.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Durian Tipus, Jelebu, Mei tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Peguam, Nur'ain Shahiera Khalid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana tertuduh bekerja sebagai penjaga pintu empangan dengan pendapatan RM2,500 dan perlu menanggung isteri serta lapan anak termasuk mangsa.
Nor Baizura juga memaklumkan kepada mahkamah yang mangsa merupakan anak angkat tertuduh dan kini masih mendapat rawatan di hospital sebelum diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dijaga di bawah agensi itu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta melapor diri di balai polis setiap bulan.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 27 November depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!