ASEAN gesa rumusan awal COC Laut China Selatan - Anwar
VIENTIANE - [DIKEMAS KINI] ASEAN menggesa rumusan awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27, di sini pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN pada sidang berkenaan, menegaskan semula kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.
"Ini adalah selari dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982," katanya.
Kandungan ucapan Anwar dikongsikan kepada media oleh Pejabat Perdana Menteri.
Malaysia berperanan sebagai penyelaras negara bagi Sidang Kemuncak ASEAN-China, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan bermula 9-11 Okt di ibu negara Laos itu.
Negara anggota ASEAN dan China kini dalam rundingan COC di Laut China Selatan dan bacaan kedua teks rundingan itu selesai tahun lepas.
Selain itu, Anwar berkata, ASEAN dan China merupakan rakan dagang terbesar masing-masing sejak 2020 dengan jumlah dagangan mencecah AS$696.7 bilion pada 2023.
Beliau berkata, ASEAN juga mengalu-alukan sokongan China untuk usaha peralihan tenaga dan menggalakkan kerjasama dalam teknologi baharu muncul seperti robotik dan kecerdasan buatan.
"ASEAN menyambut baik Kenyataan Bersama Mengenai Memperhebat Kerjasama dalam Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat dan menyambut baik cadangan China untuk melanjutkan Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China hingga 2025," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone berkata, ASEAN dan China menandakan pencapaian penting dalam kerjasama ekonomi pada sidang kemuncak itu dengan pengumuman rumusan substantif rundingan Penambahbaikan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.
Sonexay berkata, perkembangan itu mencerminkan hubungan perdagangan yang semakin erat antara kedua-dua pihak, dengan China mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar ASEAN sejak 15 tahun manakala ASEAN menjadi rakan dagang utama China selama tiga tahun berturut-turut sejak 2020.
"Selain pengumuman perdagangan itu, pemimpin kedua-dua pihak menerima pakai lima kenyataan bersama penting, bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama," katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China di Pusat Konvensyen Nasional, di sini.
Lima hasil utama berkenaan adalah Membanteras Penipuan Rangkaian Telekomunikasi dan Perjudian Dalam Talian; Meningkatkan Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat; Menggalakkan Pembangunan Pertanian Pintar; Memudahkan Kerjasama dalam Membina Ekosistem Digital yang Mampan dan Inklusif serta Rumusan Utama Rundingan Penambahbaikan ACFTA 3.0.
Bagaimanapun, Sonexay berkata, mesyuarat itu menilai semula kemajuan dan menetapkan hala tuju masa depan untuk mempertingkatkan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China (CSP), dengan tujuan memperkukuh ketersambungan dan daya tahan untuk manfaat bersama ASEAN, China dan komuniti global.
"Perkongsian ASEAN-China telah secara ketara menyumbang kepada usaha pembinaan Komuniti ASEAN serta matlamat bersama untuk mengekalkan dan mempromosi keamanan, kestabilan dan kerjasama di rantau ini," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN-China itu dihadiri Perdana Menter China, Li Qiang dan kesemua 10 negara anggota ASEAN.
Malaysia secara rasmi akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Laos pada 11 Oktober. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!