1 daripada 8 kanak-kanak perempuan diperkosa sebelum berusia 18 tahun

Laporan tersebut berdasarkan kaji selidik dilakukan antara 2010 dan 2022 di 120 negara. - Foto Agensi
Laporan tersebut berdasarkan kaji selidik dilakukan antara 2010 dan 2022 di 120 negara. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Lebih 370 juta kanak-kanak perempuan dan wanita atau satu daripada lapan individu di seluruh dunia menjadi mangsa pemerkosaan dan serangan seksual sebelum mereka berusia 18 tahun.

Laporan itu dikeluarkan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu yang turut mendedahkan jumlah itu meningkat kepada 650 juta orang atau satu daripada lima individu di seluruh dunia di bawah kategori keganasan seksual bukan melibatkan fizikal seperti serangan lisan atau di platform dalam talian.

Tinjauan global pertama itu juga mendapati kira-kira 240 hingga 310 juta kanak-kanak dan lelaki atau satu daripada 11 individu di seluruh dunia menjadi mangsa rogol dan serangan seksual ketika di bawah umur.

“Skala pelanggaran hak asasi manusia ini amat membimbangkan dan sukar difahami sepenuhnya kerana stigma masyarakat, cabaran lain dan pengumpulan data yang terhad,” ujar UNICEF dalam satu kenyataan.

Data mengejutkan itu diterbitkan menjelang persidangan pertama peringkat menteri untuk mengakhiri keganasan terhadap kanak-kanak di Colombia pada bulan depan.

Menurut UNICEF, penemuan itu menggariskan tentang keperluan segera untuk mengetatkan undang-undang sedia ada dan melancarkan kempen kesedaran bagi membantu kanak-kanak memahami bentuk keganasan seksual dan kemudiannya memaklumkan kepada orang dewasa.

Jelasnya lagi, pengumpulan data secara terperinci diperlukan untuk merekodkan skala penuh masalah tersebut berikutan jurang ketara yang wujud antara golongan lelaki dan wanita yang tidak terkecuali menjadi mangsa keganasan seksual.

Difahamkan, laporan tersebut berdasarkan kaji selidik dilakukan antara 2010 dan 2022 di 120 negara manakala angka bagi golongan lelaki diperoleh daripada sumber data lebih meluas menggunakan beberapa kaedah tidak langsung. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info:

>Sub-Sahara Afrika merekodkan angka tertinggi dengan 79 juta kanak-kanak perempuan dan wanita (22 peratus) disusuli rantau Asia seramai 75 juta (lapan peratus).

>Kebanyakan kes serangan seksual berlaku ketika mangsa berusia antara 14 dan 17 tahun. Golongan itu paling berisiko tinggi mengalami penyakit kelamin dan masalah kesihatan mental.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!