Mahkamah benar tangguh, tuduhan tiga anak 'Abuya'
MELAKA - Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan penangguhan pertuduhan terhadap tiga anak lelaki pengasas ajaran sesat Al-Arqam, 'Abuya' atas tuduhan mempermainkan ayat al-Quran atau hadis dan menghina Islam pada bulan lalu.
Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin memutuskan demikian dan menangguhkan kepada tarikh 19 Disember depan selepas dicadangkan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin.
Pihak pendakwaan yang turut dibarisi Timbalannya, Norazita Mohd Ali memohon pertuduhan terhadap ketiga-tiga orang yang disyaki (OYDS) berusia 38, 42 dan 45 tahun itu ditangguhkan ke satu tarikh ditentukan mahkamah.
Atras dalam hujahnya turut berkata, penangguhan pertuduhan terbabit dilakukan di bawah Seksyen 91, dibaca bersama Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 adalah untuk dituduhkan sekali dengan tujuh lagi OYDS yang masih direman dan disiasat bagi kes sama oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Hujahnya lagi, permohonan yang dibuat adalah mengikut peruntukan Seksyen 95 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Melaka 2002.
"Tempoh reman ketiga-tiga OYDS tamat pada hari ini, jadi pendakwaan memohon jaminan baharu sebanyak RM3,000 atau dengan dua penjamin bagi setiap seorang OYDS," katanya.
Sementara itu, kesemua tertuduh yang diwakili oleh Peguam Syarie, Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad tidak membantah permohonan tersebut.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh dilepaskan sementara dengan jaminan seperti yang telah dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 19 Disember depan.
Sinar Harian pada 21 September lalu melaporkan 45 individu termasuk 34 kanak-kanak ditahan dalam serbuan di beberapa premis dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dalam Op Global.
Dalam serbuan itu, JAIM turut merampas 285 barang kes termasuk 12 keping gambar Ashaari dan 138 buku berkaitan ajaran sesat itu dalam serbuan ke atas 19 premis berkaitan GISB).
Sehari selepas itu, mahkamah membenarkan permohonan bon jaminan terhadap tiga individu itu yang ditahan menerusi Op Global berkenaan.
Hakim memerintahkan mereka membayar bon jaminan RM1,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!