Sultan Mizan berkenan letak plak perasmian di dasar laut
MARANG - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan meletakkan plak perasmian pada tukun yang berada di dasar laut di perairan Alur Tuman dekat sini pada Khamis.
Sultan Mizan turut berkenan melakukan selaman di kedalaman kira-kira 17 meter untuk menyempurnakan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda Terengganu Rekreasi di perairan Marang.
Pada program itu, sebanyak 20 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda dilabuhkan di perairan Marang pada hari ini di sekitar jarak kira-kira lima batu nautika dari pantai.
Turut hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.
Sementara itu, Azman berkata, jumlah tukun dilabuhkan yang dilabuhkan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan pada tahun ini melalui Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk mewujudkan garisan sempadan tukun di sepanjang 244 kilometer jarak pantai di negeri ini.
Menurutnya, perancangan satu kelompok tukun tiruan di setiap kilometer kawasan perairan Terengganu memerlukan perancangan dan sumber kewangan dalam meningkatkan sumber perikanan marin sekali gus meningkatkan sosioekonomi nelayan pantai.
"Berjuta-juta peruntukan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan telah dilaburkan bagi pengurusan perikanan negeri Terengganu dengan tujuan mengawal dan memperkaya sumber perikanan.
"Manfaat yang didapati bagi program-program ini adalah semestinya untuk rakyat negeri Terengganu khususnya buat 8,635 orang nelayan di negeri Terengganu.
"Ia merupakan usaha jangka masa panjang bagi menangani isu kekurangan sumber dan pendapatan nelayan seterusnya meningkatkan sosioekonomi rakyat Terengganu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!