Kerajaan Kelantan ambil serius ramalan MetMalaysia

Kerajaan Kelantan memandang serius ramalan MetMalaysia bahawa negeri itu dijangka menerima hujan lebat bermula November 2024 hingga Februari 2025. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Nassuruddin)
Kerajaan Kelantan memandang serius ramalan MetMalaysia bahawa negeri itu dijangka menerima hujan lebat bermula November 2024 hingga Februari 2025. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Nassuruddin)
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memandang serius ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa negeri itu dijangka menerima hujan lebat bermula November 2024 hingga Februari 2025.

Menteri Besarnya, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kesemua fasiliti kini berada dalam keadaan siap sedia membabitkan kenderaan, jentera, bot, khemah kubik, genset dan peralatan-lain berada dalam keadaan siap sedia untuk digunakan.

Menurutnya, sebanyak 19,619 kemudahan berkenaan disediakan berbanding 17,147 tahun lalu.

"Sebanyak 459 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti dapat menampung lebih 186,440 mangsa berbanding hanya 214 PPS tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, sebanyak 17 stor bencana dan lebih 160 pangkalan hadapan di seluruh negeri juga sudah disediakan dan diurus oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin menjelaskan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menyediakan 108 stesen telemetri hujan dan aras air, 59 siren amaran banjir, 117 buah tolok arus dan lima kamera video.

Tambahnya, turut disediakan ialah 137 pam bergerak selain sebuah empangan pertanian dan empat kolam takungan pemantauan.

"Seramai 7,209 petugas daripada semua anggota keselamatan dan 10 agensi lain bersedia untuk digerakkan. Jumlah tersebut juga telah ditambah berbanding 7,147 orang tahun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menggesa semua rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Jika amaran banjir dikeluarkan, segera berpindah ke PPS yang telah dikenal pasti atau ke tempat yang lebih selamat.

"Pastikan tempat menyimpan dokumen penting, ubat-ubatan, dan barangan keperluan asas disimpan dan mudah dicapai.

"Elak daripada cuba menyeberangi jalan yang ditenggelami airf dan sentiasa ikut perkembangan cuaca serta maklumat terkini daripada saluran rasmi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!