[VIDEO] KKM sedia bantu kes kemalangan maut pelajar UiTM Dungun

A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) sedia bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan berhubung insiden kemalangan maut melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama itu merangkumi aspek pandangan teknikal dan perubatan berdasarkan bukti.

Dr Dzulkefly. Foto Bernama
Dr Dzulkefly. Foto Bernama

"Kes dalam siasatan polis, saya kira tidak sesuai KKM memberikan komen tetapi kita akan bagi pandangan teknikal dan perubatan berdasarkan bukti," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC sehingga mengorbankan tiga daripada empat pelajar UiTM pada Rabu.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Ku Adib Aizad Ku Azmi, masing- masing berusia 20 tahun dan Mohd Akmal Tukirin, 25 tahun.

Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar dari Fakulti Perakaunan manakala mangsa parah pula dikenali sebagai Amar Danish Mohd Ridwan, 20 tahun.

Pemandu wanita yang merempuh empat pelajar terbabit dipercayai tidak siuman.

Sementara itu, mengulas mengenai kesihatan mental, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 336 kes daripada 59,860 panggilan yang diterima menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental (Talian Heal 15555) sejak 2022 adalah membabitkan kecenderungan membunuh diri.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebanyak 198 daripada jumlah kes itu membabitkan idea atau pemikiran untuk membunuh diri manakala 138 kes lagi adalah berkaitan cubaan membunuh diri.

"Kita dapati yang idea untuk membunuh diri ini iaitu 198 kes, dia memang menghitung-hitung (untuk membunuh diri).

“Ini yang perlu dilakukan intervensi segera supaya kita dapat mengelakkan mereka daripada melakukan (bunuh diri) itu,” jelas beliau.

Tambahnya, sebanyak 59 peratus atau 35,590 daripada jumlah keseluruhan panggilan diterima Talian Heal 15555 memerlukan sokongan emosi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!