SkyWorld, Projek Rumah PR1MA tampil 491 unit pangsapuri mampu milik

Dari kiri: Zafidi, Chee Seng, Mohd Nazri dan Zulkarnain.
Dari kiri: Zafidi, Chee Seng, Mohd Nazri dan Zulkarnain.
A
A
A

PROJEK Rumah PR1MA yang dikenali sebagai SkyAwani Prima akan menampilkan sebanyak 491 unit pangsapuri mampu milik yang dibina di atas tanah pajakan seluas 1.97 ekar di Brickfields, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development Berhad (SkyWorld), Lee Chee Seng berkata, setiap unit ditawarkan pada harga kompetitif RM390,000 sekali gus menjadikan pangsapuri tersebut sebagai pilihan berpatutan untuk mencari perumahan mampu milik.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dapat menangani permintaan semakin meningkat untuk ruang kediaman mampu milik sambil mempromosikan pembangunan komuniti.

“Konsep kediaman itu memaksimumkan cahaya matahari, aliran udara dan kecekapan tenaga untuk meningkatkan keselesaan serta kelestarian.

“Reka bentuk rumah ini akan meningkatkan kesejahteraan peribadi dan keterlibatan komuniti, menetapkan penanda aras baharu untuk kehidupan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Anak syarikat pemaju hartanah, SkyWorld iaitu Aspirasi Cekap Sdn Bdn (ACSB) menjalinkan kerjasama dengan menandatangani perjanjian pembangunan bersama (JDA) dengan PR1MA Corporation Malaysia (PR1MA).

Hadir sama wakil SkyWorld, Zafidi Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Ketua Operasi Kumpulan PR1MA, Zulkarnain Zainuddin.

Tambah Chee Seng, PR1MA berhak menerima RM32.17 juta kos tanah sebagai balasan dan menjangkakan ia siap dalam tempoh empat tahun dari tarikh permulaan.

Artikel Berkaitan:

Chee Seng berkata, pihaknya berhasrat untuk memupuk semangat komuniti dan meningkatkan kualiti hidup keseluruhan penduduk.

“ACSB akan bertanggungjawab bagi pembangunan dan pembinaan projek berkenaan yang mempunyai nilai kasar sebanyak RM191.49 juta.

“Kami yakin dengan kemampuan menyediakan rumah berkualiti tinggi memenuhi keperluan pembeli yang pelbagai. Lokasi strategik juga menjadikannya kawasan yang menarik untuk pembangunan kediaman,” ujarnya.

Chee Seng memaklumkan sebelum ini, SkyWorld merangkul anugerah emas dua kali berturut-turut di Anugerah Prix d’Excellence Dunia FIABCI 2024.

Tambahnya, anugerah itu diberikan kepada pemaju hartanah berkenaan menerusi projek SkyAwani di bawah siri perumahan mampu milik.

“Pengiktirafan ini membuktikan dedikasi kami yang konsisten dalam menetapkan standard yang tinggi, meneroka sempadan baharu dan berusaha untuk prestasi yang luar biasa dalam segala yang kami lakukan.

“Fokus kami untuk mencipta ruang yang memenuhi keperluan pembeli hari ini tetapi juga meningkatkan kualiti hidup mereka, menggabungkan kemampuan dengan reka bentuk dan fungsi yang luar biasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!