[VIDEO] Nahas pelajar UiTM: Tiga pelajar miliki budi pekerti tinggi, rajin bantu pensyarah

A
A
A

DUNGUN - Empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terlibat dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah Honda CRV malam Rabu lalu disifatkan memiliki budi pekerti tinggi, rajin membantu dan menghormati pensyarah.

Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Dungun, Azlinda Mohamad berkata, sepanjang pengalaman mengajar mereka dalam jurusan tersebut, kesemua pelajar itu menunjukkan nilai-nilai yang baik dan turut rapat dengan pelajar lain.

Menurutnya, dia sendiri terkejut sebaik menerima senarai pelajar terlibat kemalangan kerana amat mengenali pelajar terbabit.

"Sebaik melihat nama yang dipaparkan pada skrin telefon bimbit itu, hati saya berdebar kerana kemungkinan besar itu adalah pelajar saya.

"Saya sangat berharap bahawa mereka tidak terlibat namun malangnya siapa kita yang mampu menidakkan takdir.

"Kami pasrah, kami reda dan terima ketentuan ALLAH SWT. Saya rasa satu UiTM berduka dan sayu dengan pemergian mereka," katanya ketika ditemui di pekarangan Pusat Hidayah UiTM kampus Dungun di sini pada Khamis.

Azlinda (tengah) berkongsi gambar kenangan yang dirakam bersama tiga pelajar UiTM Jurusan Perakaunan yang maut dalam kemalangan pada malam Rabu.
Azlinda (tengah) berkongsi gambar kenangan yang dirakam bersama tiga pelajar UiTM Jurusan Perakaunan yang maut dalam kemalangan pada malam Rabu.

Sebelum itu, kesemua Jenazah penuntut UiTM berkenaan selesai disolatkan pada jam 10.40 pagi dan bergerak ke lokasi pengebumian di kampung halaman masing-masing jam 11 pagi.

Artikel Berkaitan:

Solat jenazah yang dipimpin Imam Masjid UiTM, Muhammad Adam Ali yang dihadiri lebih 2,000 warga UiTM.

Jenazah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dibawa pulang ke Muar, Johor dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam.

Jenazah Khairil Anwar Jamaludin, 20, yang merupakan penuntut Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor manakala jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, yang juga pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!