Gaza berubah sepenuhnya, keganasan di Asia Barat tiada tanda akan berakhir

Gaza menjadi tanah perkuburan bagi puluhan ribu orang, termasuk ramai kanak-kanak dan hampir keseluruhan penduduknya hilang tempat tinggal. Foto AFP
Gaza menjadi tanah perkuburan bagi puluhan ribu orang, termasuk ramai kanak-kanak dan hampir keseluruhan penduduknya hilang tempat tinggal. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Semenanjung Gaza digambarkan sebagai 'tidak lagi dapat dikenal pasti' dengan tiada penghujung kepada keganasan yang melanda Asia Barat, kata Ketua Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) pada Rabu, menurut laporan Agensi Anadolu.

"Tiada penghujung terhadap keganasan yang melanda wilayah itu.

"Ia menjadi setahun penuh kehilangan dan penderitaan mendalam," kata Philippe Lazzarini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di wilayah Palestin.

Gaza menjadi tanah perkuburan bagi puluhan ribu orang, termasuk ramai kanak-kanak dan hampir keseluruhan penduduknya hilang tempat tinggal.

Merujuk kepada situasi di Tebing Barat yang diduduki, Lazzarini memberi amaran tentang keganasan yang semakin meningkat, dengan hampir 700 orang terbunuh sejak setahun lalu dan lebih 160 daripada mereka adalah kanak-kanak.

Lazzarini turut menegaskan bahawa Lubnan adalah mangsa terbaharu konflik yang semakin meluas.

"Orang awam menanggung harga yang sangat tinggi. Serangan udara oleh tentera Israel membunuh dan menyebabkan ratusan ribu orang hilang tempat tinggal," katanya.

Beliau menekankan kepentingan UNRWA di Gaza, sambil memberi amaran bahawa ruang operasi agensi itu semakin mengecil di tengah-tengah serangan Israel. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!