Pesara ATM bebas tuduhan rasuah

Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan seorang pesara ATM daripada lima pertuduhan rasuah. Foto hiasan
Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan seorang pesara ATM daripada lima pertuduhan rasuah. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada lima pertuduhan rasuah berhubung pelantikan sebuah syarikat secara rundingan terus bagi Perkhidmatan Senggaraan dan Khidmat Sokongan Sistem Peperangan Elektronik (PRISMA), lima tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu ke atas Lt Che Ahmad Idris, 58, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan suatu keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Setelah meneliti hujahan bertulis dan keterangan semua saksi pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya mematahkan kes pendakwaan. Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes di luar keraguan munasabah ke atas semua pertuduhan dihadapi tertuduh.

"Oleh itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada kelima-lima pertuduhan dan wang jaminan RM95,000 serta pasport dipulangkan kepada tertuduh,” kata hakim itu.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan 13 saksi pembelaan termasuk tertuduh memberikan keterangan sejak perbicaraan kes bermula pada 27 Ogos 2021.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan didakwa bersetuju menerima suatu suapan wang tunai RM500,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sendirian Berhad, Elias Jemadi Tajudin sebagai upah untuk membantu Syarikat FEHM dilantik secara rundingan terus bagi PRISMA untuk Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, dia didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM130,000 daripada individu sama untuk tujuan serupa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa, Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak di sini antara Oktober 2019 dan April 2020.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala tertuduh diwakili peguam Gooi Soon Seng. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!