Jakim ambil tindakan video tular puji pendakwah berlebihan

Tangkap layar video viral seakan ‘memuji’ dengan mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab kepada seorang pendakwah di Facebook. Gambar kecil: Sirajuddin Suhaimee
Tangkap layar video viral seakan ‘memuji’ dengan mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab kepada seorang pendakwah di Facebook. Gambar kecil: Sirajuddin Suhaimee
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil tindakan berkaitan video tular di media sosial melibatkan seorang pendakwah dan para pelajar dalam sebuah majlis yang mengalunkan pujian tertentu dalam bahasa Arab.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi menyiasat perkara itu.

“Susulan kenyataan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jakim telah selesai menyiapkan laporan lengkap isu itu.

“Video tersebut menunjukkan sekumpulan pelajar dalam satu majlis sedang mengalunkan qasidah di hadapan guru mereka.

“Qasidah tersebut didakwa mengandungi bait-bait ayat dalam bahasa Arab yang memuji guru mereka secara keterlaluan. Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta Jakim untuk menyediakan laporan serta membawa perkara ini kepada tindakan pihak berkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.

Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, pihaknya berharap pemakluman berkenaan isu tersebut dapat meredakan keadaan dan tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Jakim juga dari semasa ke semasa sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat Islam berkaitan kefahaman akidah yang sahih berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!