FAZURA Studios pertahan pelancaran Bertahan Demi Cinta

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

FAZURA Studios dan syarikat label rakaman terkemuka dari Indonesia, HITS Record tetap melancarkan lagu duet baharu antara Nur Fazura dan Fattah Amin berjudul Bertahan Demi Cinta pada Khamis.

Menerusi satu kenyataan rasmi daripada FAZURA Studios, lagu yang ditulis oleh komposer terkenal, Ippo Hafiz telah dirakamkan di Jakarta, Indonesia sekitar Januari lalu dan merupakan runut bunyi untuk drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella 2 (HSC2).

Bukan itu sahaja, pengambaran video muzik lagu itu juga telah selesai dijalankan pada Februari lalu di Yogyakarta, Indonesia.

“Tarikh rasmi lagu ini telah diputuskan secara bersama pada beberapa bulan yang lalu oleh FAZURA Studios dan HITS Record kerana keistimewaan tarikh 10 Oktober 2024.

“Ini juga selaras dengan pendekatan bersama yang diambil oleh kedua-dua syarikat semasa peluncuran lagu berjudul Tenang Diri nyanyian Ippo Hafiz pada tarikh istimewa 9 September 2024 yang lalu.

“Perancangan pelancaran kedua-dua lagu ini telah dibuat pada beberapa bulan yang lepas atas keperluan kerjasama dan persediaan awal termasuk di platform digital terkemuka,”ujar kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, pelancaran lagu tersebut juga tiada sebarang kaitan dengan perkembangan terkini urusan peribadi Nur Fazura.

Dalam masa sama, FAZURA Studios menegaskan kenyataan yang dikeluarkan pengurus aktres itu iaitu Iman Tang, sebelum ini merupakan pendapat peribadi.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak selain menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan oleh pengurus kepada Nur Fazura berhubung pemilihan tarikh pelancaran lagu ini yang telah dilaporkan media tempatan sebelum ini adalah pendapat peribadinya semata-mata.

“Ia tidak mewakili syarikat FAZURA Studios dan HITS Record. Kedua-dua syarikat juga berpegang kepada perancangan yang telah dibuat lebih awal sebelum ini, yang mana tiada sebarang penglibatan oleh pengurus kepada Nur Fazura,” jelasnya.

Lagu Bertahan Demi Cinta boleh didengari di platform digital termasuk Spotify dan YouTube HITS Record bermula pada hari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!