Perkembangan pendidikan anak-anak GISBH semakin baik - Fadhlina
KEPALA BATAS - Kanak-kanak yang ditemui di rumah-rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sudah memulakan sesi pembelajaran secara formal di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 1 Oktober lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, lebih 300 anak-anak yang ditempatkan di beberapa rumah perlindungan diberikan pendidikan formal mengikut modul-modul khas yang ditetapkan KPM seperti sebelum ini.
Menurutnya, perkembangan pendidikan anak-anak tersebut juga semakin baik selepas pihaknya mengadakan lawatan ke rumah-rumah perlindungan yang menempatkan mereka.
"Kita dah mulakan kelas pada 1 Oktober yang lalu. Saya, Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha Kementerian telah pun melakukan lawatan di tempat-tempat anak-anak tersebut ditempatkan.
"Alhamdulillah kita melihat perkembangan pendidikan mereka sangat baik, mereka sedang mengikuti pendidikan dan bersama dengan kaunselor-kaunselor kita melakukan semua proses pembelajaran serta modul-modul yang kita gunakan untuk memastikan mereka dapat mengikuti pendidikan secara langsung dan secara formal melalui modul ataupun pembelajaran oleh KPM,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-62 di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis.
Sebelum ini, ratusan kanak-kanak yang terdiri daripada anak-anak pengikut GISBH berjaya diselamatkan polis melalui Ops Global yang dilaksanakan di beberapa negeri sehingga kini.
Bagi memastikan kesemua mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya, KPM merangka pelan jangka masa panjang bagi anak-anak itu bersama kementerian berkaitan selepas status mereka dimuktamadkan.
Malah KPM juga akan membuat penilaian kepada latar belakang pendidikan anak- anak tersebut sebelum menempatkan mereka ke institusi pendidikan di bawahnya untuk proses pemulihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!