Dakwaan Akta 852 beri tekanan tidak munasabah - Dzulkefly
PUTRAJAYA - Dakwaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memberi tekanan kepada peniaga kecil adalah tidak munasabah.
Malah kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dakwaan peniaga kecil perlu membelanjakan sejumlah wang bagi menaik taraf kabinet pameran produk merokok juga dilihat tidak tepat.
"Sejujurnya ia menyentuh imaginasi saya kerana apa yang perlu dibuat hanya memasang penutup kabinet pameran seperti ditetapkan dalam Akta 852.
“Saya tak rasa untuk pasang penutup memakan kos sehingga RM6,000, mungkin sekitar beberapa ratus ringgit sahaja,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) menggesa KKM menangguhkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok di bawah Akta 852.
Dakwa Presidennya, Hong Chee Meng, larangan itu dilaksanakan tergesa-gesa tanpa sebarang perundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!