Kerani akaun rugi lebih RM400,000 terpedaya 'phone scam'

Mangsa dimaklumkan telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta terdapat waran tangkap terhadapnya. Foto hiasan
Mangsa dimaklumkan telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta terdapat waran tangkap terhadapnya. Foto hiasan
A
A
A

IPOH - Seorang kerani akaun mengalami kerugian sebanyak RM445,050 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak sebuah platform jual beli barang dalam talian dan polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu semalam daripada mangsa, seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahawa pada jam 11.13 pagi, 24 Julai lepas, mangsa yang berada di tempat kerjanya di Hutan Melintang, daerah Bagan Datuk, telah menerima panggilan telefon daripada nombor 017-4572868.

Panggilan itu mendakwa bahawa mereka adalah daripada platform berkenaan dan memaklumkan kepada mangsa bahawa beliau menjalankan perniagaan barangan kecantikan tanpa lesen di platform tersebut.

Menurut Ahmad Adnan, mangsa menafikan perkara itu dan lelaki terbabit (suspek) meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dengan menyambungkan talian telefon kepada seorang lagi lelaki (suspek kedua) yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Sjn Badrul'.

"Mangsa dimaklumkan telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta terdapat waran tangkap terhadapnya.

"Mangsa percaya dengan kata-kata suspek dan memindahkan keseluruhan wang simpanan miliknya serta ibunya kepada dua institusi kewangan tempatan dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM445,050," katanya.

Ahmad Adnan berkata, suspek juga memaklumkan kepada mangsa transaksi berkenaan perlu dilakukan bagi tujuan siasatan dan membersihkan nama mangsa, selain berjanji akan memulangkan semula wang milik mangsa setelah selesai siasatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagaimanapun setelah hampir dua bulan mangsa menunggu, wang miliknya tidak dikembalikan serta 'Sjn Badrul' gagal dihubungi.

"Pada 9 Oktober 2024, mangsa membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa telah ditipu," katanya.

Justeru, Ahmad Adnan berkata, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan daripada terus menjadi mangsa 'phone scam' antaranya dengan tidak melayan panggilan telefon, mesej individu mahupun nombor telefon yang tidak dikenali. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!