Along salah simbah cat merah diberkas

Azizi (kanan) menunjukkan suspek geng ah long yang berjaya diberkas oleh IPD Manjung.
Azizi (kanan) menunjukkan suspek geng ah long yang berjaya diberkas oleh IPD Manjung.
A
A
A

IPOH - Dua lelaki dipercayai ahli sindiket along yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat pada tiga kenderaan milik penduduk di Taman Muhibah, Sitiawan pada 29 September lalu, berjaya ditangkap.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dua lelaki berusia 23 dan 26 tahun itu diberkas di dua lokasi berasingan.

"Operasi mengesan kedua-dua suspek dilancarkan selepas menerima laporan daripada pengadu pada 29 September lalu.

"Hasil risikan dan maklumat Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya tahan suspek pertama berusia 26 tahun di Sabak Bernam, Selangor, Selasa lalu manakala rakannya ditahan di Alor Setar, Kedah, semalam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Azizi berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian sebenar berpunca daripada salah faham membabitkan kedua-dua pihak.

"Suspek didapati telah tersalah sasaran menyimbah cat merah ke rumah pengadu kerana notis ditinggalkan suspek mengandungi mengandungi gambar kad pengenalan bangsa berlainan dengan tulisan 'kali kedua bakar'," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan pertuduhan di mahkamah.

Sinar Harian melaporkan polis menerima laporan daripada pengadu selepas kenderaan jenis Proton X70, Proton Persona dan Nissan Almera yang diletakkan di hadapan rumahnya telah disimbah cat berwarna merah.

Artikel Berkaitan:

Kejadian disedari jam 5.30 pagi oleh pengadu dan terdapat notis yang ditinggalkan tertera gambar kad pengenalan milik seorang lelaki yang tidak dikenali.

Dalam perkembangan lain, Azizi berkata, polis membuka sebanyak 16 kertas siasatan berkaitan kes curi buah sawit sekitar Manjung.

"Bertindak atas maklumat, IPD Manjung berjaya tangkap dua lelaki dikenali Geng Bob Sawit berusia 24 dan 41 tahun serta merampas tiga tandan buah sawit dan salinan lesen perniagaan rem sawit.

"Hasil siasatan, suspek telah membuat jual beli buah sawit sebanyak 12 kali kepada pemilik rem yang sama di Pantai Remis," katanya.

Jelasnya, kertas siasatan berjaya dilengkapkan dan dirujuk timbalan pendakwa raya untuk arahan pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!