Nahas pelajar UiTM: Muhammad Ammar Danish dilaporkan stabil
DUNGUN - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang menerima rawatan di Hospital Dungun susulan terlibat dalam kemalangan akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai Sura dekat sini pada Rabu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan, 20, kini ditempatkan di wad di hospital tersebut untuk pemantauan sehingga keadaannya kembali pulih.
Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi bersama Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Dr Mazidah Puteh telah melakukan lawatan kepada pelajar tersebut di Hospital Dungun pada jam 11.20 pagi tadi.
"Menerusi keterangan Pegawai Perubatan yang telah merawat Muhammad Ammar Danish mendapati dia berada dalam keadaan stabil selain tidak mengalami kecederaan serius.
"Rawatan dan jahitan luka seluruh badan telah diberikan dan Muhammad Ammar Danish telah ditempatkan di wad untuk pemantauan sehingga keadaannya pulih.
"Muhammad Ammar Danish juga ditemani ibu bapanya yang baru tiba dari Keramat, Kuala Lumpur pada jam 4 pagi tadi," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam kejadian itu tiga pelajar UiTM Kampus Dungun yang maut ialah Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20,
Difahamkan, dalam kemalangan pada jam 7.20 malam itu, empat penuntut yang menunggang dua motosikal dirempuh SUV dipandu seorang wanita.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, pihak polis menerima laporan kemalangan jam 7.35 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun.
Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah SUV jenis Honda CRV dan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC.
Katanya, suspek wanita berusia 49 tahun itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!