Penggali kubur meninggal dunia, dikebumikan di Madinah

Penggali kubur, Mohd Nazarudin (kanan) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqi’ di Madinah, Ahad lalu. Foto: ihsan pembaca
Penggali kubur, Mohd Nazarudin (kanan) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqi’ di Madinah, Ahad lalu. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KANGSAR - "Walaupun tugasnya sebagai penggali kubur, namun setiap kali waktu solat masuk, dialah yang paling awal sampai di masjid untuk solat berjemaah."

Demikian perkongsian Pengerusi Masjid Al-Hashimiah Kampung Talang, Muhamad Shud Abdul Majid, 64, terhadap amalan Allahyarham Mohd Nazarudin Jamaludin yang meninggal dunia di Madinah, Ahad lepas.

Mohd Nazarudin, 59, dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung, sehari selepas keberangkatannya ke kota suci itu bagi menunaikan umrah.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqi’ di Madinah, perkuburan yang dirahmati.

Muhamad Shud berkata, Allahyarham masih bujang dan menabur khidmat sebagai penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Talang Hulu, Kampung Talang Hulu sejak lima tahun lalu.

Mohd Nazarudin. Foto: ihsan pembaca
Mohd Nazarudin. Foto: ihsan pembaca

Menurutnya, arwah tidak sahaja membantu menguruskan kematian penduduk di kawasan tersebut, malah melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli kariah dengan mengutamakan solat di masjid.

"Rezeki arwah meninggal dunia dan dikebumikan di sana.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai umat Islam kita yakin, ini semua pastinya berlaku atas segala amal ibadat dan kebaikan yang dilakukan arwah semasa hayatnya di sini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pemergian Allahyarham kira-kira empat jam sebelum dijadualkan menziarahi Raudah di Masjid Nabawi, tular di media sosial selepas disifatkan tergolong dalam kematian yang dicemburui.

Dalam hantaran yang dikongsi diberitahu bahawa Allahyarham telah menggali ratusan kubur umat Islam yang meninggal dunia.

Tugasnya dilakukan dengan penuh tanggungjawab sehinggakan walaupun menggali kubur dilakukan secara gotong-royong, bahagian liang lahad hanya Allahyarham yang akan sempurnakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!