Ahli keluarga jadi sumber kekuatan pesakit mental
SHAH ALAM - Sokongan yang diberi ahli keluarga menjadi sumber kekuatan luar biasa bagi Pengerusi Persatuan Cakna Mental Malaysia (MeCare), Areefah Ahmad yang bukan sahaja berjuang melawan penyakit mental malah turut menderita penyakit kanser tahap empat.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, disebabkan sokongan itulah beliau ketika ini masih mampu turun berjumpa masyarakat untuk berkongsi pengalamannya dalam berdepan dua ujian besar berkenaan.
"Mak ayah saya memang sangat membantu, bila saya masuk wad mereka datang dari Johor dan tolong jaga anak saya manakala adik saya pula jaga saya di wad.
"Dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang saya sertai pula ada rakan-rakan seperjuangan yang sangat memberi sokongan walaupun gejala (sakit) kami berbeza," katanya selaku panelis pada Forum Kesihatan Mental: Dosa, Takdir atau Ujian? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
Forum berkenaan turut menampilkan dua lagi panelis lain iaitu Konsultan Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Multaqa Asatizah & Du'at Malaysia (Murshid), Abdullah Bukhari Abdul Rahim bersama Qari My #QuranTime, Ahmad Tirmizi Ali serta dikendalikan Timbalan Presiden Murshid, Amin Idris selaku moderator.
Areefah, 30, didiagnosis penyakit gangguan bipolar pada 2016 sebelum disahkan menghidap kanser pada 2020 ketika sedang hamil.
Menurut Areefah, pada peringkat awal sebaik disahkan menghidap penyakit mental dan diminta mendapatkan rawatan psikiatri, beliau pernah terfikir untuk tidak mahu membuat rawatan kerana beranggapan dirinya tidak berpenyakit.
"Saya memang menghukum diri dan berfikir 'kenapa aku tak boleh nak lupakan atau hilangkan perasaan nak bunuh diri, kenapa tak boleh nak rasa tenang dan tak boleh tidur'.
"Saya juga hanya anggap situasi yang saya alami disebabkan dosa saya yang tidak terampun. Mungkin ada manusia yang tak maafkan saya. Saya menyalahkan diri sendiri sampailah saya berjumpa dengan psikiatri dan dapatkan rawatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!