Cadangan henti subsidi telur membebankan rakyat - Putra

Asmawar berkata, rakyat tidak akan menikmati apa-apa bantuan daripada kerajaan jika subsidi telur itu dihapuskan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Asmawar)
Asmawar berkata, rakyat tidak akan menikmati apa-apa bantuan daripada kerajaan jika subsidi telur itu dihapuskan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Asmawar)
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyelar cadangan kerajaan yang mahu menghentikan subsidi telur kerana ia akan membebankan kos sara hidup rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Asmawar Samat berkata, rakyat tidak akan menikmati apa-apa bantuan daripada kerajaan jika subsidi telur itu dihapuskan.

Menurutnya, ketiadaan subsidi akan mendorong kepada peningkatan harga telur di pasaran.

“Mereka yang terjejas adalah golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, buruh, warga emas dan pesara kerana pendapatan rendah, berkurangan atau kehilangan pendapatan kerana hilang upaya.

“Harga purata sepapan telur ayam gred A yang ditetapkan adalah RM12.61 untuk 30 biji atau 42 sen sebiji manakala telur ayam kampung (RM7.12 untuk 10 biji atau 71 sen sebiji).

“Bagaimanapun, hakikatnya telur ayam kampung dijual pada harga RM25 sepapan atau 83 sen sebiji itu adalah bukti bahawa harga telur sudah meningkat 17 peratus sebelum subsidi ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan mempertimbangkan untuk menamatkan subsidi telur ayam gred A, B, C jika bekalan kembali pulih dan stabil.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penjimatan sebanyak RM100 juta tersebut bakal dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agro makanan lain yang lebih mendesak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu padi dan beras pula, Asmawar berkata kerajaan perlu serius dalam usaha untuk merombak cengkaman kartel yang selama ini diketahui dan disedari, namun masih belum dapat bertindak secara efektif.

“Dalam hal ini, rakyat jelata sudah tidak sabar menunggu kemunculan semula Beras Tempatan (BT) yang hilang tidak muncul sejak September 2023.

“Jika rakyat berpendapatan rendah membeli BT dengan harga RM13 setiap lima kilogram (kg) pada tahun 2021, kini mereka membeli BT bercampur BI (Beras Import) atau Beras Madani dengan harga antara RM15.50 (5kg),” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kementerian terlibat bersungguh-sungguh menyelesaikan isu tersebut.

“Sesungguhnya, ia memerlukan kajian mendalam melalui kerjasama dengan ramai pihak terutamanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam memberikan maklumat dan maklum balas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!