Pengarah operasi syarikat ditahan, kemuka tuntutan palsu projek perumahan di Temerloh

Seorang pengarah operasi syarikat pemaju perumahan bergelar Datuk direman empat hari. Foto hiasan
Seorang pengarah operasi syarikat pemaju perumahan bergelar Datuk direman empat hari. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah operasi syarikat pemaju perumahan bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu projek perumahan di Temerloh, Pahang bernilai RM4.25 juta.

Perintah reman terhadap pengarah operasi berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati suspek telah mengemukakan tuntutan palsu melibatkan baucar bayaran dan sijil pembinaan rumah bagi 19 unit rumah berkembar sebuah projek perumahan di Temerloh sepanjang 2021 hingga 2023 namun pembinaan tidak pernah dilakukan.

Sumber sama memaklumkan turut direman bagi tempoh sama pada hari ini ialah seorang pengarah syarikat lain yang juga bergelar Datuk bagi menyiasat penglibatannya dalam kes berkenaan.

Kedua-dua mereka ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 7.05 malam tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!