MGB majukan tanah bernilai RM861 juta di Taman Bukit Serdang
Projek pertama seluas 16.5 ekar untuk projek pembangunan bercampur, merangkumi lot kedai komersial serta rumah mampu milik di bawah skim Rumah Selangorku.
Projek kedua seluas 9.5 ekar merupakan Tanah Rizab Melayu dan akan dibangunkan sebagai kawasan kediaman untuk pemilik rumah Bumiputera. Gabungan keluasan kedua-dua tanah tersebut adalah 26 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM861.35 juta.
Tanah yang terletak di lokasi strategik dengan akses kepada pelbagai kemudahan dan fasiliti, seperti sekolah dan universiti, pusat membeli-belah, kompleks sukan, hospital serta pengangkutan awam melalui stesen KTM Komuter Serdang dan MRT Serdang Raya Utara.
Selain itu, kawasan ini juga dihubungkan dengan beberapa lebuhraya utama seperti Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya KESAS, Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Sungai Besi, serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan bandar-bandar utama seperti Putrajaya, Cyberjaya dan Pusat Bandar Kuala Lumpur menjadikannya lokasi yang ideal untuk pemilik rumah.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, pihaknya teruja mendapat peluang untuk menyumbang dalam usaha memenuhi permintaan perumahan mampu milik yang semakin meningkat di kawasan Lembah Klang, sementara mengembangkan portfolio dalam sektor hartanah kediaman dan komersial.
“Dalam semua pembangunan di MGB, kami mengintegrasikan teknologi konkrit pratuang (IBS) yang cekap dan kos efektif, sekali gus dapat membina rumah yang berkualiti tinggi dan selesa.
“Hasil daripada setiap pembangunan yang berjaya dilaksanakan, MGB semakin menghampiri hasrat untuk membina 10,000-unit Rumah Selangorku di Negeri Selangor.
“Dengan jumlah pesanan pembinaan yang kukuh bernilai RM1.19 bilion, jualan pembangunan hartanah yang belum dibil berjumlah RM693 juta daripada projek yang masih dalam pembinaan (setakat 30 September 2024) serta penyerahan pemilikan rumah bagi Projek Idaman BSP yang baru sahaja dilaksanakan, MGB menjangkakan kejayaan yang konsisten pada separuh kedua tahun ini. Dengan jumlah 19 projek yang masih dalam pembinaan, kami menjangkakan hasil pendapatan sebanyak RM4.02 bilion pada tahun-tahun akan datang,”katanya.
Selain itu, pihaknya telah memperoleh tanah seluas 32.0 ekar di Puchong bagi menambah bank tanah sedia ada untuk projek-projek pembangunan yang akan datang.
MGB akan tetap komited untuk mengukuhkan reputasi syarikat dalam pembangunan dan pembinaan perumahan mampu milik untuk rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!