Zii Jia tempah slot suku akhir Terbuka Artik
JAGUH badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Artik di Finland yang dimenanginya pada edisi lalu.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris itu mara ke saingan suku akhir setelah menyingkirkan wakil Jepun, Yushi Tanaka secara straight set dalam tempoh 42 minit permainan pada Khamis.
Pada aksi yang berlangsung di Energia Areena, Vantaa tersebut, Zii Jia yang turun selaku pemain pilihan ketiga kejohanan memulakan set pertama dengan kemenangan 21-11.
Bersambung pada set kedua, pemain nombor empat dunia itu terus memperkemaskan corak permainannya biarpun diberi tentangan sengit lawan sebelum mengesahkan kemenangan 21-18.
Kemenangan tersebut memberi kelegaan kepada Zii Jia kerana sebelum ini tumbang seawal pusingan pertama Terbuka Jepun dan Terbuka China bulan lalu.
Hasil kemenangan tersebut melonjakkan semangat pemain berusia 26 tahun itu terutama untuk meraih gelaran kedua berturut-turut Terbuka Artik selepas kejayaan pada 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!