Dr Ezani bersedia perkenal inovasi baharu rawatan jantung
SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Institut Jantung Negara (IJN) Holdings dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Sdn Bhd, Profesor Dr Ezani Md Taib bersedia untuk memperkenalkan inovasi dalam rawatan jantung.
Menurut kenyataan IJN, Dr Ezani juga akan mengukuhkan kedudukan IJN dalam industri penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti institut untuk menangani kes jantung yang kompleks serta menjadikannya pusat penyelidikan terkemuka.
Beliau berazam untuk memperkukuh peranan IJN sebagai hab serantau bagi pemindahan jantung dan paru-paru serta mengembangkan kerjasama pendidikan melalui latihan generasi pakar akan datang.
Di bawah kepimpinannya, IJN akan mengutamakan penjagaan yang berpusatkan pesakit dan meningkatkan kecekapan operasi untuk memastikan pertumbuhan yang mampan sambil mengekalkan perkhidmatan bertaraf dunia.
“Industri penjagaan kesihatan sedang berkembang dan IJN bukan sahaja perlu mengikuti perkembangan tetapi memimpin dengan inovasi.
“Fokus saya adalah untuk menerima teknologi baharu, memupuk kerjasama antarabangsa dan memastikan kecemerlangan klinikal kami diterjemahkan kepada hasil lebih baik untuk pesakit,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, Dr Ezani secara rasmi menerajui jawatan teratas di IJN pada 1 September lalu.
Mengulas lanjut, pengalaman luas Dr Ezani telah memastikan IJN kekal di barisan hadapan dalam pembedahan jantung yang kompleks.
Ia susulan inisiatif beliau yang memainkan peranan penting dalam prosedur pemindahan jantung dan paru-paru pertama serta menyumbang kepada pembangunan teknologi jantung mekanikal.
Kepakarannya telah mengukuhkan pengiktirafan IJN sebagai peneraju di rantau ini dan meletakkan institusi tersebut untuk terus menyumbang kepada penjagaan jantung global.
Pengalaman beliau sebagai eksekutif lebih 13 tahun dalam Jawatankuasa Pengurusan IJN membantu beliau memahami aspek operasi dan perniagaan pengurusan penjagaan kesihatan dengan lebih baik.
Menurut IJN, selain tanggungjawab kepimpinannya, Dr Ezani turut komited untuk memacu pendidikan dan penyelidikan perubatan.
Dr Ezani yang juga Pengarah Klinikal Direktorat Pendidikan dan Latihan serta Profesor Adjung dalam Program Pembedahan Kardiotorasik IJN-Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) komited untuk membentuk masa depan pembedahan kardiotoraks di Malaysia.
Tambah IJN, usaha beliau dalam bidang pendidikan memastikan IJN bukan sahaja cemerlang dalam penjagaan pesakit, tetapi juga kekal sebagai institusi terkemuka dalam melahirkan pakar jantung.
Visi Dr Ezani untuk melakukan inovasi, pertumbuhan dan kecemerlangan klinikal akan membimbing IJN ke arah kejayaan berterusan selain memastikannya kekal dikenali sebagai pusat rawatan jantung bertaraf dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!