Mara tubuh pasukan khas laksana transformasi premis komersial
SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersetuju menubuhkan pasukan khas bagi memperhalusi pelan transformasi melibatkan 6,666 lot premis perniagaan komersial miliknya di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu dibuat selari dengan maklum balas orang ramai yang mahukan perubahan dilakukan terhad lot premis berkenaan.
"Berdasarkan laporan, maklum balas orang ramai dan lawatan mengejut (#Terjah) ke premis-premis komersial termasuklah Arked-Arked Mara.
"Sudah tiba masanya untuk satu pelan bersepadu untuk mentransformasikan semua premis-premis komersial Mara seluruh negara agar berwajah baharu, lebih ceria, dinamik dan mampu menjadi salah satu wahana penting untuk memperkasakan lagi agenda ekonomi Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Asyraf Wajdi mendedahkan banyak lot premis yang tidak beroperasi atau dijadikan stor menjadi punca Arked Mara di Pekan Changlun kelihatan sepi, daif dan lesu.
Beliau memaklumkan, lot premis berkenaan disewa hanya untuk kegunaan alamat oleh kontraktor bagi mendapatkan tender di kawasan berhampiran.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut berkongsi pengalamannya mengadakan lawatan mengejut ke Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Majlis bersetuju dengan kelulusan segera RM400 ribu untuk membaiki segera tandas-tandas dan bilik guru di MRSM Terendak.
“Kami juga bersetuju untuk memperkukuhkan lagi sistem pemantauan dan penguatkuasaan agar kebajikan pelajar terutamanya penyediaan makanan di dewan selera IPMA dan MRSM terpelihara serta berada pada tahap terbaik,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!