[VIDEO] 'Tidak sangka bawa pulang anak selepas seminggu hantar ke UiTM Dungun'

A
A
A

MUAR - "Baru seminggu lalu saya hantar dia ke UiTM Dungun, tidak sangka hari ini, saya bawa pulang jenazahnya," ujar Md Tukirin Saringat, 60.

Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, merupakan seorang daripada tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berhampiran universiti itu pada malam Rabu.

Md Tukirin menyiram air di pusara anaknya Muhammad Akmal di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Muar.
Md Tukirin menyiram air di pusara anaknya Muhammad Akmal di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Muar.

Menurut Md Tukiran, anak kedua daripada empat beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap ketika pulang pada cuti semester lalu.

"Saya pesan kepadanya belajar rajin-rajin dan jangan tinggal solat. Dia seorang yang periang, suka buat lawak dan ringan tulang membantu.

"Saya memang tidak rasa apa-apa pun yang dia akan pergi buat selamanya," ujarnya ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru pada petang Khamis.

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Muar.
Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Muar.

Jenazah Muhammad Akmal selamat dikebumikan pada jam 5.20 petang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Md Tukiran yang juga pemandu lori, mengucapkan terima kasih kepada pihak UiTM Dungun kerana menguruskan jenazah anaknya dengan sebaiknya dan selamat tiba di Kampung Parit Baru Muar pada jam 4.17 petang.

Md Tukirin ( kanan) reda dengan pemergian anaknya.
Md Tukirin ( kanan) reda dengan pemergian anaknya.

"Saya reda dengan ketentuan ilahi dan menghargai setiap bantuan dihulurkan sehingga jenazah anak saya selamat dikebumikan di Muar pada petang ini," katanya.

Ditanya mengenai sebarang kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu SUV, Md Tukirin bagaimanapun menyerahkan perkara tersebut kepada pihak UiTM untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Pada malam Rabu, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.

Tiga pelajar terbabit, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, meninggal dunia apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 yang ditunggangi mereka dirempuh kenderaan Honda CRV dipandu seorang wanita.

Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke universiti selepas makan malam dilaporkan turut diseret hampir 60 meter.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu wanita yang dipercayai mengalami masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!