ESG jamin pembangunan Selangor tidak korban alam sekitar, rakyat - MB
KLANG - Pelaksanaan prinsip amalan terbaik berkenaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) oleh kerajaan Selangor adalah kerangka konkrit ke arah menjamin pembangunan ekonomi tidak mengorbankan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan ESG memberikan manfaat jangka panjang bukan sahaja dari sudut kelestarian alam tetapi juga dalam meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosial.
"Di peringkat global, kita dapat menyaksikan syarikat mula menerapkan ESG secara menyeluruh lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi, perubahan iklim, dan tekanan sosial.
"Di Selangor, pelaksanaan ESG telah mula dijadikan keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan, dan ini jelas tercermin dalam dasar negeri seperti Selangor Bebas Karbon 2050 dan pelaksanaan projek hijau yang mesra alam," katanya ketika berucap sempena Klang Sustainable Convention 2024 ESG for SDG di sini hari ini.
Terdahulu, majlis perasmian konvensyen anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Amirudin berkata, ESG menggabungkan tanggungjawab alam sekitar dengan tadbir urus korporat yang telus dan penyertaan masyarakat dalam proses pembangunan supaya setiap dasar dan perancangan mengambil kira kepentingan semua pihak daripada kerajaan, sektor swasta hingga peringkat komuniti setempat.
Beliau berkata, pelaksanaan SDG memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan agar pengintegrasian matlamatnya ke dalam dasar dan perancangan peringkat negeri memberi impak kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar setempat.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, pelaksanaan prinsip SDG dan ESG perlu dilihat sebagai antara agenda global yang dilaksanakan kerajaan ke arah menarik pelaburan ke dalam negara.
Beliau berkata, untuk bersaing di peringkat global, komitmen ESG adalah sangat penting selain mampu memberi pulangan atau impak positif kepada negara, antaranya melalui penggunaan tenaga lebih cekap, sekali gus mampu membawa penjimatan termasuk memanjangkan hayat mesin serta infrastruktur digunakan.
"Jadi, kita semua perlu sedar bahawa kedua-dua konsep ini bukan sekadar tarikan atau slogan semata-mata tetapi merupakan prasyarat nyata untuk para pelabur membuat pelaburan di negara ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!