Syeikh Zainul Asri perjelas video tular 'Ya Syeikhana'

Tangkap layar hantaran Syeikh Muhd Zainul Asri di TikTok pada Khamis. Laporan Sinar Harian pada Khamis (kanan).
Tangkap layar hantaran Syeikh Muhd Zainul Asri di TikTok pada Khamis. Laporan Sinar Harian pada Khamis (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli tampil menjelaskan hantaran tular memperlihatkan sekumpulan pelajar mengalunkan bait-bait qasidah dan memujinya secara berlebihan adalah video lama.

Beliau mendakwa, kejadian tersebut berlaku sewaktu ulang tahun kelahirannya pada 2020, namun mengakui tidak bersetuju sebarang majlis sambutan hari lahir diadakan.

Bagaimanapun, menurut bekas Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Kedah itu, beliau terpaksa akur demi menjaga hati kesemua anak murid yang sudah bertungkus lumus membuat persiapan meraikan ulang tahunnya.

“Saya tak cakna sangat kalimat (ketika itu), tengok-tengok mereka alunkan 'Ya Syeikhana' atau 'Ya Syeikh Zainul Asri'. Kemudian ada lagu pula, bukannya saya suruh (buat).

“Sebenarnya ia adalah qasidah Syeikh Abdul Rahman Saqqaf (wali), ketua qasidah ini suaranya sedap tapi dia pun tak tahu dan gantikan bait 'Syeikh Abdul Rahman' kepada 'Syeikh Zainul Asri'.

“Bukannya kami sejenis nak puji-puji orang, kami ada ilmu dan nak tiru (akhlak) Nabi Muhammad SAW. Takkanlah nak suruh orang kata begitu,” katanya menerusi hantaran di TikTok pada Khamis.

Klip video berdurasi 54 saat terbabit sempat dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mempersoalkan tindakan sekumpulan pelajar memuji Syeikh Muhd Zainul Asri secara keterlaluan sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet.

Terbaharu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memberitahu, pihaknya telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi menyiasat isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, secara umumnya hukum memuji seseorang adalah harus dengan syarat ia perkara benar dan bukannya dusta.

Syeikh Muhd Zainul Asri memaklumkan, dakwaan tersebut disifatkan sebagai satu fitnah berat untuk membunuh karakter dan memburukkan nama baiknya.

Namun, jelasnya, beliau tetap menerima sebarang kritikan atau ulasan yang membina berhubung video tular itu.

“Mereka ingatkan di Indonesia sahaja ada pelampau, rupanya di Malaysia pun pelampau juga. Tengok-tengok Syeikh Zainul Asri.

“Kalau saya tak maafkan habislah dia sebab memfitnah. Yang mengulas pun melampau juga dengan mengatakan saya 'Khariqal Adah', saya bukan wali atau ulama,“ ujarnya.

@sinarharianonline

Syeikh Zainul Asri perjelas video tular 'Ya Syeikhana' #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #SyeikhZainulAsri #Video #Tular #Viral #YaSyeikhana #Jakim #Pendakwah #Agama #Islam

BCC News - Ockeroid

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!