Sultan Pahang titah KKR pertimbang semula bina R&R di LTU
KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Baginda bertitah, keputusan untuk tidak melaksanakan salah satu komponen penting dalam projek lebuh raya itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu.
"Antaranya keperluan asas orang ramai yang menggunakan lebuh raya berkaitan," titah baginda dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook Kesultanan Pahang pada Khamis.
Al- Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa keperluan R&R di lebuh raya tersebut akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna.
Baginda bertitah, ini sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.
Al-Sultan Abdullah berharap agar pihak berkaitan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur tersebut bagi kepentingan orang ramai terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Sebelum ini, kerajaan Pahang telah membuat permohonan agar R&R dapat dibina di LTU (dalam daerah Bentong) bagi memberi kemudahan kepada pengguna.
Namun pembinaan tidak diteruskan dengan alasan kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal walaupun ia berada dalam skop projek dan hanya penyediaan platform dan infra sahaja yang dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!