NGO puji kerajaan larang atlet Israel sertai kejohanan renang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu gabungan 29 badan bukan kerajaan (NGO) telah menyokong keputusan kerajaan Malaysia tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung pada Julai.

Ia berkata tindakan sedemikian adalah sejajar dengan dasar yang dipegang oleh kerajaan Malaysia selama ini yang menyekat mana-mana pemegang pasport Israel daripada memasuki negara ini, dan dasar itu mesti dikekalkan tanpa sebarang pengecualian.

"Memboikot dan mengasingkan Israel adalah usaha paling minimum yang boleh dan harus kita lakukan untuk menyuarakan kebencian kita terhadap kezaliman rejim Zionis Israel. Langkah pemboikotan telah terbukti berhasil menjatuhkan rejim aparteid Afrika Selatan dahulu. Oleh itu, ia juga bakal berhasil menjatuhkan rejim aparteid Israel.

"Kerajaan Malaysia mengambil langkah yang tepat dan betul dalam menghalang atlet Israel memasuki negara ini dan oleh itu, layak diberi pujian dan sanjungan," menurut kenyataan gabungan itu pada Khamis.

Antara NGO itu ialah Palestinian Cultural Organisation Malaysia, Viva Palestina Malaysia, al-Quds Foundation Malaysia, Humanitarian Care Malaysia dan ASEAN Coalition for Palestine.

Kumpulan itu turut mengingatkan bahawa semasa Perarakan Pulang Besar-Besaran di Gaza, rejim Zionis tidak teragak-agak mengarahkan penembak jarak jauhnya untuk menembak mati rakyat Palestin yang terdiri dari kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak, termasuk pemberita, jururawat berpakaian seragam serta orang kurang upaya.

"Oleh itu janganlah sesiapa cuba menggunakan alasan karut bahawa isu sukan dan politik wajar dipisahkan Perlu diingatkan bahawa semasa protes Perarakan Pulang Secara Besar-Besaran, sejumlah 241 orang awam termasuk 42 kanak-kanak bawah 18 tahun, lima wanita, tiga paramedik dan dua wartawan telah terbunuh manakala 26,140 lagi cedera akibat ditembak oleh askar Israel yang dapat melihat dengan jelas siapa yang mereka sasarkan," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis berkata kerajaan telah mengekalkan pendiriannya untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching mulai 29 Julai hingga 4 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata jika skuad Israeli tetap berkeras untuk menyertai kejohanan itu, ia akan melanggar larangan tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!