Tuanku Muhriz titah bela nasib kanak-kanak terkait GISBH di Negeri Sembilan

Tuanku Muhriz. Foto Bernama
Tuanku Muhriz. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan agar nasib kanak-kanak yang terkait dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini yang diselamatkan supaya dibela termasuk memberikan pendidikan perdana yang sempurna.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Tuanku Muhriz bertitah demikian semasa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang bersidang di Istana Seri Menanti dekat sini pagi tadi.

Beliau berkata, Tuanku Muhriz turut mencadangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri supaya kanak-kanak berusia antara empat hingga 15 tahun yang tidak diambil ibu bapa mereka supaya diberi perhatian sewajarnya.

"Kanak-kanak ini perlu diberi perhatian khusus supaya mereka dapat pendidikan perdana dan kembali kepada masyarakat.

"Ini termasuk kanak-kanak yang diambil ibu bapa agar sentiasa dipantau dari semasa ke semasa sekali gus memastikan mereka dapat pendidikan lebih sempurna, kita tidak boleh biarkan duduk rumah begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis Pecah Tanah Negeri Sembilan Semiconductor Valley (NSSV) di sini hari ini.

Menurutnya, di negeri ini terdapat kira-kira 400 kanak-kanak berusia empat hingga 15 tahun sebelum ini terkait dengan GISBH di empat daerah iaitu Seremban, Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu.

Sementara itu, Aminuddin berkata, tiada fatwa baharu ditetapkan setakat ini berhubung ajaran dan kepercayaan GISBH di negeri ini.

"Tiada fatwa baharu. Bagaimanapun, Mufti Negeri Sembilan, Profesor Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin kata mereka memang melanggar undang-undang, peraturan dan Rang Undang-Undang sedia ada seperti mana diamalkan Al-Arqam yang diwartakan sesat pada 2016,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!