Lelaki hilang ketika mahu petik dokong ditemui lesu, kelaparan

Azhar (kiri) ditemui selamat di sebuah rumah di kawasan ladang sawit kira-kira jam 8.14 malam.
Azhar (kiri) ditemui selamat di sebuah rumah di kawasan ladang sawit kira-kira jam 8.14 malam.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu di kawasan hutan di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Pas, dekat Lata Pungil ditemui selamat di sebuah rumah di ladang sawit Bukit Chengal pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa, Azhar Abdul Rashid, 50, ditemui sedang berjalan kaki dalam keadaan lesu dan lapar di kawasan ladang oleh penduduk kampung pada jam 8.14 malam.

Menurut beliau, ketika ditemui mangsa tidak berpakaian dan dibantu penduduk dengan memberikan makanan sementara menunggu pasukan keselamatan mengambil mangsa.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan namun sangat kelaparan kerana dua hari tidak menjamah makanan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Nik Ahmad Afsham berkata, mangsa sudah diserah kepada polis untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Sultan Ismail Petra di sini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki OKU hilang selepas diajak seorang rakan memetik buah dokong di sebuah kebun di Kampung Sungai Pas.

Mangsa kemudian menaiki pacuan empat roda untuk ke kebun berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang turut mencari mangsa bersama pasukan penyelamat sejak tiga hari lalu, Mohd Adha Mohd Zain, 25, bersyukur kerana kelaki itu berjaya ditemui dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

Mohd Adha memberitahu, mereka keluar sejak awal pagi untuk mencari mangsa di beberapa lokasi yang dikatakan dilalui mangsa.

"Kali terakhir kami dimaklumkan dia dilihat di kawasan ladang dalam keadaan tidak berpakaian namun sebaik tiba di situ, mangsa sudah berjalan ke lokasi lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!