Berebut tempat duduk: 6 mengaku tak bersalah cederakan seorang lelaki

Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kulai atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, Isnin lalu.
Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kulai atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, Isnin lalu.
A
A
A

KULAI - Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki di Senai pada 7 Oktober lalu.

Semua tertuduh yang berusia antara 32 hingga 40 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di depan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Tertuduh tersebut ialah Justin Ngu Zhing Xin, 28, Lau Tzy Teck, 36; Wai Kar Chung, 32; Liaw Kok Beng, 34; Yee Vui Ming, 40 dan Teh Yeung Tatt, 28.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama menyebabkan kecederaan kepada Ng Kim Hoe, 33, dengan menggunakan batang rotan di tepi jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada jam 1.38 tengah hari pada Isnin lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam bela, Muhammad Mohd Nasir.

Azureen Sahira membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain diminta tidak mengganggu mangsa atau saksi kejadian dan 7 November depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada Selasa, tujuh lelaki ditahan polis selepas video tular memaparkan sekumpulan individu memukul seorang lelaki lain di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan sekitar Skudai dan Johor Bahru, kira-kira jam 8 malam Isnin, sehingga jam 12.30 pagi Selasa.

Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian itu kerana perselisihan faham yang bermula hanya disebabkan perebutan tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

Mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali mula berselisih faham kerana tegur-menegur di antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!