Malaysia destinasi kelima syurga makanan paling popular di Asia - Agoda

Malaysia turut menjadi destinasi paling dikunjungi oleh pencinta makanan dari Singapura. Foto hiasan
Malaysia turut menjadi destinasi paling dikunjungi oleh pencinta makanan dari Singapura. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia menjadi destinasi kelima sebagai syurga makanan paling popular di Asia dengan 49 peratus pelancong memilih datang ke negara ini untuk mencuba makanan sebagai tujuan utama.

Ia hasil tinjauan dilakukan platform perjalanan digital popular, Agoda yang menyaksikan Korea Selatan muncul sebagai destinasi paling popular syurga makanan dalam kalangan pelancong apabila tidak kurang daripada 64 peratus pelancong ke Korea Selatan menyatakan sebab utama mereka ke negara tersebut adalah kerana makanannya.

Ia kemudiannya diikuti oleh Taiwan dengan (62 peratus), Thailand (55 peratus), Jepun (52 peratus) dan Malaysia (49 peratus).

Pengarah Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, makanan tidak terhad kepada kelangsungan hidup malah telah menjadi sebahagian daripada pengalaman budaya.

"Ada sesetengah pelancong yang merasa terlalu teruja sehingga mereka menempah restoran di luar negara sebelum mendapatkan tiket penerbangan mereka.

"Data tinjauan kami jelas menunjukkan bahawa para pelancong mencari destinasi untuk menikmati makanan dan tradisi tempatan, bukan hanya bersiar-siar.

"Agoda berbangga untuk membawakan tawaran bernilai hebat ke destinasi syurga makanan agar anda dapat menjimatkan wang untuk dibelanjakan ke atas hidangan tempatan yang lazat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tinjauan dilakukan pada 1 hingga 19 Ogos 2024 itu melibatkan lebih 4,000 responden yang menempah destinasi percutian mereka di sepuluh negara pasaran Agoda.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk Indonesia, India, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, menurut Agoda, hasil tinjauan sama juga mendapati Malaysia menjadi destinasi paling dikunjungi oleh pencinta makanan dari Singapura.

"Pelancong Malaysia juga menjadikan makanan sebagai faktor pendorong untuk sering berkunjung ke negara Thailand, diikuti oleh Indonesia dan Taiwan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!