Malaysia antara negara teratas dalam keselamatan siber di Asia Tenggara - Kaspersky

Malaysia muncul sebagai antara negara peneraju dalam rangka kerja pengawalseliaan keselamatan siber di Asia Tenggara. Foto 123RF
Malaysia muncul sebagai antara negara peneraju dalam rangka kerja pengawalseliaan keselamatan siber di Asia Tenggara. Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Syarikat keselamatan siber dan privasi digital global Kaspersky, memuji Malaysia yang menunjukkan kemajuan ketara dalam pengukuhan aspek keselamatan sibernya bagi menangani ancaman yang semakin meningkat di dalam dan luar talian.

Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, Malaysia muncul sebagai antara negara peneraju dalam rangka kerja pengawal seliaan keselamatan siber di Asia Tenggara.

Beliau berkata, Malaysia cukup pantas dalam menguasai pelbagai aspek keselamatan siber, dengan penampilan dua agensi terkemuka NACSA (Agensi Keselamatan Siber Negara) dan CSM (CyberSecurity Malaysia), di samping pengenalan Akta Keselamatan Siber 2024 Ogos lepas.

"Saya berpandangan ia adalah satu langkah yang sangat baik untuk bergerak ke landasan yang betul.

"Malaysia kini mempunyai undang-undang, dasar, memiliki Akta, juga ada agensi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan siber dan diberi kuasa untuk menguatkuasakan dan melaksanakan tindakan.

"Jadi saya boleh katakan bahawa Malaysia sedang mendahului berbanding beberapa negara Asia Tenggara dalam perkara ini,” katanya ketika ditemui di luar Persidangan Keselamatan Siber Perindustrian Kaspersky APAC 2024 yang berlangsung selama tiga hari di sini sejak semalam.

Beliau berkata, Malaysia perlu memberi lebih banyak perhatian untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kelihatan kurang menyerlah dalam aspek keselamatan siber.

"Mekanisme yang ada, CSM Helpline (untuk PKS) telah wujud selama bertahun-tahun, malah antara yang terawal di rantau ini, tetapi realiti yang menyedihkan ialah keselamatan siber mungkin bukan keutamaan mereka (kemungkinan) disebabkan oleh kekangan kewangan, jadi mereka memerlukan lebih banyak bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin kita boleh beri lebih banyak tumpuan kepada menyediakan latihan kepada mereka (PKS) dan lebih banyak penyedia dalam aspek pendidikan untuk mereka diperlukan.

"Menyediakan latihan adalah dalam aspek pembekalan, manakala dalam aspek permintaan, terutama di pihak PKS, mereka juga perlu dipupuk dengan kesedaran mengenai keperluan dan kepentingan perlindungan siber,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pembukaannya, Siang Tiong menekankan bahawa strategi dan penyelesaian keselamatan siber yang komprehensif dan holistik adalah penting untuk mewujudkan perlindungan yang boleh dipercayai bagi teknologi maklumat (IT) dan teknologi operasi (OT).

Persidangan kali ini menghimpunkan ratusan pakar keselamatan siber terkemuka, penyelidik, pembekal automasi industri, pengintegrasi sistem dan pelanggan dari lebih 20 negara untuk membincangkan ancaman semasa dan kaedah tercanggih dalam perlindungan siber. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!