Penambahbaikan ACM HRD Corp beri fleksibiliti kepada majikan
SHAH ALAM - Inisiatif menambah baik Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM) iaitu panduan untuk majikan berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) mampu memberikan fleksibiliti dan menyokong pertumbuhan industri latihan di negara ini.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, selaku pemain industri, penambahbaikan itu wajar disokong kerana struktur yuran baharu membolehkan majikan lebih fleksibel untuk menjalankan program latihan termasuk kursus pembangunan profesional atau modular.
Tambah beliau, kenaikan siling yuran latihan HRD Corp mampu mendorong majikan untuk melaksanakan lebih banyak program berkualiti dan berimpak tinggi bagi memenuhi keperluan golongan sasar.
“ACM adalah panduan mengenai kos yang boleh dituntut, tuntutan maksimum dan kelayakan tuntutan bagi pelbagai jenis program latihan melalui levi pembangunan sumber manusia.
“Ia bertujuan mengukuhkan usaha pembangunan kemahiran Malaysia dan penambahbaikan ini termasuk pelarasan yuran kursus latihan yang boleh dituntut berdasarkan kadar setiap jam, bukannya setengah hari atau harian seperti sebelumnya.
“MEF menyokong inisiatif Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan menterinya, Steven Sim Chee Keong berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama pemain industri lain pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkan oleh Steven ketika beliau berucap dalam majlis perasmian Forum Kemahiran ASEAN (ASF) 2024 pada 3 Oktober lalu.
Beliau turut mengumumkan kenaikan had yuran kursus sehingga RM1,500 sejam atau RM10,500 sehari berbanding RM6,000 iaitu peningkatan lebih 50 peratus daripada kadar sebelumnya.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong turut memuji tindakan Kesuma dan HRD Corp kerana ia mampu menyokong pembangunan berterusan buat tenaga kerja di negara ini.
Tambahnya, pengenalan tuntutan mengikut jam untuk program latihan amat bermanfaat buat PKS kerana ia dapat dilaksanakan tanpa mengganggu operasi harian dan boleh meningkatkan kemahiran secara efektif.
“Kenaikan had bagi yuran kursus boleh dituntut membolehkan majikan mengakses kursus berkualiti tinggi dan premium yang sebelum ini tidak boleh diakses,” ujar beliau.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyedia Latihan Bumiputera Malaysia (MBTA), Azman Shah Datuk Aziz berpandangan, inisiatif terbabit sejajar dengan keperluan tenaga kerja moden yang semakin berkembang dan ia menonjolkan komitmen Kesuma dalam memupuk ekosistem pembelajaran fleksibel serta berkualiti tinggi.
Katanya lagi, fleksibiliti amat penting dalam pasaran masa kini kerana program jangka masa pendek dan berfokus semakin bernilai tinggi.
Menurut Presiden Persatuan Penyedia Latihan Malaysia (Matpro), Profesor Dr Abdul Kabur Ibrahim, pihaknya percaya bahawa penambahbaikan kepada ACM akan merangsang komuniti latihan untuk menyediakan lebih banyak program bernilai tinggi buat tenaga kerja di negara ini.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Persatuan Kejurulatihan Antarabangsa (IAC) Malaysia, Bavani Periasamy berpendapat, penambahbaikan ACM adalah berita menggembirakan buat komuniti jurulatih bertauliah dan ia pasti membuka jalan kepada pelaksanaan struktur kursus baharu dalam masa terdekat.
“IAC berterima kasih kepada Steven dan HRD Corp kerana mendengar keluhan serta memahami keperluan unik komuniti jurulatih.
“Perkembangan sebegini sudah pasti memberi manfaat kepada jurulatih dan pelanggan dengan mempromosikan standard yang lebih tinggi dalam amalan kejurulatihan,” tambahnya.
Presiden Persatuan Penceramah Profesional Malaysia (MAPS), Sumathi Krishnan turut senada dengan pemain industri lain kerana penambahbaikan tersebut mengambil kira peningkatan kos menjalankan perniagaan, termasuk beberapa faktor seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yuran pentadbiran dan bayaran pekerja.
“Penambahbaikan ini sememangnya satu dorongan yang amat dialu-alukan agar penyedia latihan terus menyampaikan program latihan berkualiti tinggi secara mampan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!