Mat Sabu sah sertai Himpunan Mega Rakyat Malaysia Bangkit ‘Free Palestine’

Hantaran dimuat naik Mat Sabu di Facebook pada Khamis.
Hantaran dimuat naik Mat Sabu di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengesahkan bakal menyertai Himpunan Mega Rakyat Malaysia Bangkit ‘Free Palestine’ yang dijadualkan bermula selepas solat Jumaat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, pihaknya turut meminta orang ramai untuk turun padang serta berkumpul bagi menzahirkan tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

“Esok Bang Mat akan hadir dalam Himpunan Mega Rakyat Malaysia Bangkit ‘Free Palestine’ selepas solat Jumaat.

“Ayuh rakyat Malaysia, kita berkumpul di hadapan Menara Tabung Haji Kuala Lumpur dan berarak ke Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) bagi menunjukkan solidariti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Program anjuran Amanah dan Pas itu bakal diadakan pada hari berasingan iaitu Jumaat serta Sabtu.

Amanah menerusi perkongsian Pengarah Biro Mobilisasinya, Abbas Azmi di Facebook, program Himpunan Mega Rakyat Malaysia Bangkit ‘Free Palestine’ akan diadakan pada Jumaat.

Manakala Pas melalui hantaran Sekretariat Himpunan 1 Tahun Taufan Aqsa di platform X berkata, pihaknya pula menyasarkan kehadiran 100,000 orang yang hadir dan berhimpun di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.

Menurut ketua sekretariatnya, Khairul Nadzir Helmi Azhar, kesemua peserta akan berkumpul di Masjid Menara Berkembar Petronas (KLCC) terlebih dahulu sebelum bergerak ke Kedutaan AS bersama-sama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi pada Rabu berkata, penganjuran program tersebut juga bertujuan memperingati kekejaman Israel terhadap Palestin dan operasi Taufan al-Aqsa yang sudah genap setahun.

Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka, Zulkifli Ismail pula berpandangan, rakyat perlu menunjukkan penyatuan tanpa mengira perbezaan parti politik atau agama apabila melibatkan isu Palestin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!