Berang kena cerai, bekas 'madu rahsia' bunuh isteri pertama
LHOKSEUMAWE - Seorang wanita maut di tangan bekas madunya dalam kejadian menggemparkan pada awal minggu lalu.
Mangsa dikenali sebagai Laksmiwati Anggraini, 62, atau LA dibunuh oleh bekas isteri siri (isteri rahsia) suaminya di kediaman mereka Jalan Merdeka, Desa Kuta Blang, Kecamatan Banda Sakti, Lhokseumawe, wilayah Aceh pada Isnin.
Jurucakap polis, Iptu Yudha berkata, suspek dikenali sebagai WL telah pun diberkas sehari selepas insiden itu berdasarkan bukti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).
"Rakaman itu jelas menunjukkan WL dilihat memasuki lokasi kejadian dan bersembunyi sebelum melakukan perbuatan itu. Siasatan awal mendapati motif pembunuhan itu adalah kerana dendam terhadap mangsa setelah pernikahan rahsia bersama bekas suaminya diketahui.
"WL berang kerana mangsa dikatakan memaksa bekas suaminya supaya menceraikannya," ujarnya lagi.
Pihak berkuasa turut merampas beberapa barang bukti seperti tali plastik yang digunakan pelaku untuk menjerut leher bekas madunya dan sebuah kereta yang dipandu untuk melarikan diri.
Akibat perbuatan itu, WL didakwa membunuh dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabit bersalah.
Kematian LA turut menggemparkan penduduk setempat kerana mayatnya ditemui di sebuah bilik di tingkat dua kediaman tersebut yang turut dijadikan tempat untuk merawat pesakit. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!