Teka-teki masa depan Luqman Hakim
KETIADAAN kelibat pemain sensasi, Luqman Hakim Shamsudin dalam skuad Harimau Malaya yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan New Zealand di Auckland pada 14 Oktober ini mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Biarpun sudah berkelana ke tiga negara iaitu Belgium, Iceland dan Jepun dengan membuat 23 penampilan serta meledak dua gol bersama tiga kelab sejak 2020, namun pemain berusia 22 tahun itu gagal memikat pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.
Kali terakhir pemain dari Kota Bharu, Kelantan itu menyarung jersi pasukan senior negara ialah pada tahun 2022 untuk penampilan yang kesembilannya.
Penganalisis sukan, Zakaria Rahim mencetuskan persoalan adakah Luqman belum cukup mencapai kriteria yang dimahukan oleh ketua jurulatih negara atau posisinya sebagai penyerang sukar untuk dia bersaing dengan pemain di Liga Malaysia atau Liga Thailand.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan faktor match fitness melalui minit perlawanan sememangnya Luqman ketinggalan untuk diserapkan dalam kem Harimau Malaya kerana mana-mana jurulatih pun hanya mahu pemain yang bersedia daripada aspek fizikal dan mental.
"Dalam skuad kebangsaan, jurulatih tidak cukup masa untuk bina kecergasan pemain. Mereka perlu mendapatkannya di kelab masing-masing. Semua yang dipilih perlu mempunyai kedua-dua ciri ini apabila melaporkan diri.
“Bersedia untuk diturunkan bila-bila masa di peringkat antarabangsa mengikut strategi dan taktikal jurulatih. Sebab itu setiap panggilan kebangsaan akan ada senarai kedua sebagai pemain menunggu.
“Apapun hanya coach Pau Marti sahaja yang mempunyai jawapan untuk persoalan ini kerana memilih pemain adalah hak prerogatif dia sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya,” katanya.
Sebagai rekod Luqman adalah sebaris dengan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi iaitu sebaya berusia 22 tahun yang lahir dari projek bola sepak Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Berbanding Luqman, Arif Aiman telah membuat 140 penampilan dan meledak 42 gol bersama kelab, manakala dengan Harimau Malaya pula beliau sudah mengumpul 30 caps dan tujuh jaringan setakat ini.
Di sebalik perjalanan mencabar yang dilalui Luqman, Zakaria juga berharap pemain muda berkenaan terus bersabar dan usah berputus asa.
“Berkat kesabaran, Insya-ALLAH satu hari nanti masanya akan tiba untuk melihat gandingan tempatan di barisan hadapan Arif-Luqman-Faisal (Halim) untuk Harimau Malaya. Pengalaman bermain di liga luar negara itu sangat mahal kerana ia bukan sahaja melibatkan cara berlatih dan bermain malah juga cara berfikir.
“Kemampuan bertahan untuk bersaing dengan pemain asing di luar bumi sendiri membuktikan bahawa Luqman seorang pemain yang berjiwa kental dan sedia harungi cabaran dan persaingan walau tidak mendapat glamour seperti pemain-pemain yang beraksi di bumi sendiri.
“Apa yang pasti, Luqman bukan jaguh kampung tapi seorang pemain yang berani,” katanya.
Sebagai rekod biarpun Luqman bermain di Njarovík FC atau YSCC Yokohama, tetapi memegang status kontrak pemain pinjaman.
Kontraknya bersama kelab Belgium, KV Kortrijk untuk tempoh lima tahun hingga 2025 dan hanya boleh berpindah sebagai ejen bebas pada tahun depan.
Menerusi profil yang dimilikinya, agak sukar untuk mana-mana kelab di dunia sudi menebus kontraknya, jauh sekali kelab-kelab di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!