Elak pertindihan fungsi
SHAH ALAM - Pengasingan kuasa tiga badan mengawal selia padi dan beras negara diharap mampu memantapkan tata kelola sektor terbabit sekali gus meningkatkan ketahanan berdepan gangguan rantaian bekalan dan cabaran global.
Felo Penyelidik Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Bakri Mat berkata, pengasingan terbabit juga dilihat berpotensi memantapkan tadbir urus melalui pengkhususan berhubung peranan dan tanggungjawab sepatutnya.
Menurutnya, isu yang sering ditimbulkan ialah berkisar tentang pertindihan fungsi dan ketidakseragaman yang kadangkala menjejaskan pelaksanaan dasar di peringkat lapangan.
“Pertindihan boleh akibatkan kekeliruan dalam kalangan petani, sekali gus menjejaskan keberkesanan intervensi kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran dan pengedaran padi, dan pastinya diharapkan tidak menjejaskan pengguna dengan harga yang tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas mengenai pengumuman kerajaan mengenai pengasingan kuasa antara tiga badan yang mengawal industri padi dan beras negara iaitu Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Jelas Bakri, PIP yang memfokuskan pembangunan kapasiti pengeluaran padi boleh memberi tumpuan program sokongan, penyelidikan dan subsidi kepada petani, memastikan sasaran pengeluaran padi nasional tercapai.
Pada masa sama, jelas beliau, KPB melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) berperanan dalam mengawal harga dan mengawalselia bekalan beras di pasaran serta memastikan harga beras kekal stabil bagi kepentingan pengguna.
“Pengasingan ini juga dapat kurangkan pertindihan fungsi antara PIP dan KPB, seterusnya meningkatkan keberkesanan dasar yang dilaksanakan dan memperjelaskan peranan setiap agensi kepada petani dan pihak industri,” katanya.
Bagaimanapun, isu ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan industri padi dan beras terutama dalam peranan Bernas memerlukan perhatian lebih teliti.
“Bernas harus diakui berjaya bantu negara mendepani fasa genting ketika era pandemik...kita harap dengan pengasingan peranan wakil kerajaan daripada Bernas, ruang bagi persaingan lebih sihat dalam pasaran dapat diwujudkan yang akhirnya memberi manfaat kepada petani dan pengguna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!