Raja Jawa, Mulyono dan legasi Jokowi

Joko Widodo (kanan) bersama Prabowo (kiri) dan Gibran (dua dari kiri) hadir sempena sambutan ulang tahun ke-79 Angkatan Bersenjata Indonesia (TNI) di Dataran Merdeka, Jakarta pada 5 Oktober lalu. Foto AFP
Joko Widodo (kanan) bersama Prabowo (kiri) dan Gibran (dua dari kiri) hadir sempena sambutan ulang tahun ke-79 Angkatan Bersenjata Indonesia (TNI) di Dataran Merdeka, Jakarta pada 5 Oktober lalu. Foto AFP
A
A
A

MUNGKIN Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral, Bahlil Lahadalia berniat baik melabelkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) sebagai ‘Raja Jawa’.

Dalam salah satu ucapannya Bahlil mengatakan “Jangan main-main dengan Raja Jawa ini. Soalnya kalau kita main-main dengan Raja Jawa ini celaka kita.”

Walaupun tidak disebut siapa Raja Jawa itu tetapi semua orang tahu Bahlil maksudkan Jokowi. Maka lekatlah label Raja Jawa pada Jokowi. Tetapi bukan dalam konotasi yang positif.

Sebelum ini pun Jokowi dituduh menggunakan bantuan sosial (Bansos) seperti beras dan lain-lain untuk memenangkan pasangan calon (Paslon) Prabowo Subianto dan anaknya, Gibran Rakabuming Raka sewaktu Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Februari lalu.

Sebelum itu beliau menggunakan Mahkamah Konstitusi (MK) untuk membolehkan Gibran bertanding sebagai Wakil Presiden (Wapres) walaupun usianya belum cukup 40 tahun seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Malah dalam Pilihan Raya Gabenor, beliau cuba untuk meloloskan anak bongsunya, Kaesang Pangarep tetapi ditolak oleh MK.

Tidak cukup dengan itu kes Kaesang dibawa untuk penilaian semula di Parlimen. Rakyat memberontak, demonstrasi terbesar pasca-reformasi berlaku. Hasrat itu terbatal.

Dalam kalangan rakyat biasa mungkin Jokowi masih dikagumi. Approval ratingnya masih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Tetapi bagi kalangan kelas menengah, para ilmuan, budayawan dan pelajar, Jokowi dikatakan merosakkan demokrasi Indonesia dan cuba membawa negara itu pada era Orde Baru zaman Suharto.

Jokowi dituduh menjerumuskan Indonesia pada beban hutang tertinggi dalam sejarah negara itu. Impiannya untuk mewujudkan sebuah ibu negara yang baharu – Nusantara – adalah percubaan yang mahal dan mungkin gagal.

Anak-anak dan menantunya nampaknya tambah menyulitkan beliau.

Masing-masing punya masalah tersendiri.

Tambah memburukkan keadaan adalah kontroversi membabitkan satu akaun yang dikatakan milik Gibran yang bernama Fufufafa.

Akaun ini muncul dalam Kaskus yang merupakan forum komuniti dalam talian yang terbesar di Indonesia.

Apa yang menjadikan Fufufafa ini isu yang hangat adalah kandungannya.

Fufufafa bukan sahaja mengecam Prabowo dan anak lelakinya dengan Siti Hediati Hariyadi atau Titiek Suharto yang bernama Didit Hediprasetyo Djojohadikusuma tetapi juga menampakkan fantasi peribadi dan kekagumannya ke atas artis tertentu, selain bernada misoginis, rasis dan penuh benci.

Ada pandangan yang mengatakan apalah maknanya sebuah akaun bagi anak muda yang usianya 26 tahun ketika itu. Akaun yang senada itu didapati dengan banyak di media sosial.

Bezanya Gibran anak presiden. Gibran kemudiannya menang dalam Pilpres sebagai wakil presiden.

Seorang pemimpin harus punya integriti dan lebih penting mengelak daripada melakukan ‘kerja-kerja yang tercela’ menurut Perlembagaan.

Akibat akaun yang terbongkar dan didedahkan oleh netizen, khabarnya hubungan di antara Prabowo dan Gibran menjadi ‘sejuk’.

Walaupun secara rasmi Prabowo dikatakan tidak terjejas dengan akaun itu tetapi di belakang tabir Prabowo dan keluarganya terluka dan marah.

Di dalam partinya sendiri, Gerindra, ada suara-suara untuk ‘menghukum’ Gibran.

Tetapi yang lebih penting adalah suara pelbagai pihak – dari akademia, pelajar, civil society dan budawayan - menuntut agar Gibran tidak dilantik. Atau jikalau dilantik perlu dimakzulkan (impeach). Hal ini tentulah mustahil dilakukan.

Namun demikian punca kemarahan rakyat terhadap Gibran sebenarnya ada kaitannya dengan pemerintahan Jokowi sendiri.

MANIPULASI UNTUK KEPENTINGAN DIRI

Lebih penting lagi adalah tindakan Jokowi yang dianggap memanipulasi demi kepentingan beliau. Malah pada saat-saat akhir pemerintahannya beliau masih berusaha untuk memastikan legasinya tidak tiris.

Lihat sahaja apa yang berlaku pada Parti Golkar, parti kedua terbesar di Indonesia selepas Parti Demokratik Perjuangan (PDI-P). Golkar merupakan parti dominan sewaktu era pemerintahan Suharto.

Apabila Suharto tumbang, Golkar turut terpinggir.Tidak mudah bagi pimpinan Golkar untuk memulihkan parti itu.

Di antara orang paling banyak menyumbang pada kebangkitan semula parti itu adalah Airlangga Hartarto.

Banyak pihak melihat bahawa Jokowi berada di belakang penyingkiran Airlangga.

Secara tiba-tiba Airlangga mengundurkan diri. Tempatnya diambil alih oleh orang kepercayaan Jokowi, Bahlil.

Tidak ada suara dalam Golkar yang mempersoalkan kemasukan Bahlil.

Bahlil baru-baru ini terbabit lagi dengan satu kenyataan yang dianggap oleh banyak pihak menunjukkan bahawa beliau tidak menghormati undang-undang berparti dan berpolitik.

Terdapat satu video Bahlil berpidato bagi membantu pasangan Ahmad Luthfi – Taj Yasin untuk Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) Jawa Tengah 2024.

Dalam video itu Bahlil memberitahu petugas Golkar untuk memastikan kemenangan dengan ‘apa cara sekalipun’.

Kenyataan itu mengundang kecaman keras dari tokoh budayawan, wartawan dan pengasas majalah Tempo, Goenawan Mohamad.

Kata Goenawan, Indonesia bukan ‘tempat para bandit’ dan amalan politik kotor tidak ada tempatnya di republik itu.

Demikianlah keadaan politik yang sebenarnya mengundang banyak persepsi negatif di tangan rakyat.

Maka itu peristiwa yang berlaku sewaktu penganjuran Forum Tanah Air (FTA) di Hotel Grand Kemang, Jakarta Selatan pada 28 September lalu tidaklah memeranjatkan.

Majlis itu digerakkan oleh diaspora Indonesia di luar negara dan mengundang beberapa orang tokoh dan aktivis nasional berhubung isu kebangsaan dan kenegaraan.

Sebelum majlis bermula sekumpulan orang masuk mengacau dan merosakkan peralatan majlis.

Salah seorang pengacau yang kemudiannya didakwa oleh polis pernah dilihat dalam satu majlis Golkar.

Parti itu masih belum membuat kenyataan rasmi mengenai hal itu.

Peristiwa seperti inilah yang tambah menyemarakkan keyakinan rakyat bahawa Jokowi bukanlah demokrat yang dipercayai.

Beliau bermula sebagai pemimpin yang menunjukkan kesederhaan. Isterinya terbang di kelas ekonomi. Anak-anaknya berniaga kecil-kecilan seperti anak muda lainnya.

Pada penghujung pemerintahannya, anak-anaknya menunjukkan gaya hidup luar biasa mewahnya, menaiki pesawat peribadi dan isterinya digambarkan dengan beg tangan dan cincin yang mahal.

Apakah legasi sebenarnya yang bakal ditinggalkan oleh Mulyono, nama semasa kecil Jokowi?

Seorang tokoh terkenal dan dihormati di Indonesia, yang juga pernah menjadi Ketua Hakim MK, Jimly Asshiddiqie dalam suatu wawancara dengan wartawan Uni Lubis mengatakan “Yang sedih adalah tidak ada yang bersedih apabila Jokowi meninggalkan pejabat.”

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau berada di Pulau Jawa sewaktu pilihan raya presiden (Pilpres) bulan Februari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!