Belajar lain, kerja lain
Sebagaimana dipertontonkan begitu indahnya kehidupan anak muda dalam televisyen, begitu jugalah angan-angan Lukman tanpa sedikit pun dia sedar, realitinya jauh berbeza.
Berbekalkan segulung ijazah, berpuluh temuduga Lukman hadir, berpuluh resume dicetak, berpuluh jam persediaan dibuat namun jawapannya tetap sama, cuma perkataannya kadang kala berbeza: “Terima kasih Lukman, nanti kami akan hubungi anda.”
Andainya dihubungi semula, Alhamdulillah tapi lazimnya hanyalah tergantung sepi menunggu khabar gembira yang tak kunjung tiba. Ya, begitulah realiti ribuan graduan di Malaysia.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pernah mendedahkan hampir 60 peratus siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian.
Menurutnya, maklumat itu berdasarkan dapatan daripada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2018 Kementerian Pendidikan (KPM).
"Bilangan graduan belum bekerja selepas satu tahun tamat pengajian bagi peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas adalah 30,765 orang atau 59.9 peratus daripada 51,365 graduan yang belum bekerja," katanya.
Adakah statistik itu membimbangkan? Bagaimana pula dengan ini: “Seramai 679 individu mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) antara pencari kerja aktif bermula Januari sehingga 30 November 2019 melalui JobsMalaysia.”
Statistik itu direkodkan Jabatan Tenaga Kerja Malaysia (JTKSM) yang turut merekodkan seramai 11,680 pencari kerja memiliki sarjana, sarjana muda (129,973), diploma dan diploma lanjutan (71,649), sijil kemahiran (8,502) dan sijil (7,573).
Jumlah itu menunjukkan rakyat Malaysia sememangnya aktif mencari kerja. Begitupun, keluhan demi keluhan dilontarkan seakan menjurus kepada satu trend bekerja namun bukanlah dalam bidang, kursus dipelajari.
Misalnya, belajar kejuruteraan, bekerja sebagai juru foto. Mungkin kerana minat atau keadaan mendesak. Asalkan dapat kerja, semua diredah demi memenuhkan akaun bank pada penghujung bulan.
Meskipun ada pihak berbangga, canang satu Malaysia, kononnya mahu menyediakan sejuta peluang pekerjaan tapi tanyalah rakyat Malaysia, setujukah mereka bahawa sejuta peluang pekerjaan berjaya disediakan?
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran pada November 2019 berkata, lebih 600,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang tidak diisi kerana kurang mendapat sambutan terutama dalam kalangan belia.
Menurutnya, kekosongan jawatan itu bukan sahaja dalam pekerjaan 3D (sukar, kotor dan berbahaya) malah sektor pengurusan dan profesional. Jadi, adakah benar sejuta pekerjaan telah disediakan?
“Siapa suruh memilih kerja. Kerja sajalah.” Ya, pasti ada bermonolog sedemikian. Lima tahun berjerih menghabiskan pengajian, setidak-tidaknya mereka, paling tidak ada sedikit hak untuk memilih. Usahlah diperlekehkan mereka.
Lihatlah ke media sosial. Begitu ramai siswazah berkongsi pengalaman beralih ke ekonomi gig kerana kurangnya peluang pekerjaan. Kalau ada pun kerja, gajinya langsung tidak setimpal.
Sebolehnya mereka mencuba untuk tidak memilih kerja, nanti dikecam pula warganet pakar segalanya. Persoalannya, adakah ekonomi baru ini benar-benar mampu membantu mereka?
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan akan memberikan tumpuan kepada ekonomi gig sebagai antara satu sumber pertumbuhan ekonomi baru dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Berlandaskan kenyataan itu, khabar positif mula menerpa. Begitupun, ia tidak langsung menyelesaikan isu pokok kebanyakan graduan terpaksa bekerja dalam bidang lain yang tidak sepadan dengan kelulusan.
Baru-baru ini, Kementerian Sumber Manusia menyenaraikan 10 pekerjaan mendapat permintaan tinggi di Malaysia pada 2018 dan 2019. Khabarnya masih banyak kekosongan, masih banyak belum diisi.
10 pekerjaan itu ialah juruteknik kejuruteraan elektrikal, pereka grafik, akauntan bertauliah, penganalisis dan saintis data, ahli kimia, keselamatan siber, kejuruteraan mekanikal, pembangun perisian, guru pendidikan awal kanak-kanak dan jurukimpal/jurupotong.
Dalam masa sama, laporan sebuah akhbar mendedahkan 38 program akademik di 19 universiti awam (UA) seluruh negara digugurkan kerana dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa. Bakal mahasiswa, ambil tahu maklumat ini kerana ia melibatkan masa depan anda.
Hakikatnya, kalau buat carian di‘google’, isu pengangguran bukan baru, sudah bertahun dibincangkan. Belajar lain, kerja bidang lain pun acap kali dibincangkan. Bertukar kerajaan, tetap itu juga dibincangkan.
Tapi itulah, berbincang sajalah, penyelesaian konkrit masih ‘tak mandang’ (kata orang Perak).
*Ridauddin Daud ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!