Impak positif subsidi secara bersasar
RASIONALISASI subsidi secara berfasa merupakan satu langkah strategik yang penting bagi mengurangkan beban kewangan negara tanpa menjejaskan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan B40.
Ketika pembentangan Belanjawan 2024 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan mengambil pendekatan melaksanakan penyasaran semula subsidi secara berfasa bermula Januari tahun ini melibatkan beberapa kementerian.
Ia sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memastikan subsidi yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan dan mengurangkan ketirisan berlaku sebelum ini.
Dua langkah rasionalisasi telah dilakukan lebih awal menyaksikan subsidi bantuan haji dan tarif elektrik ditamatkan daripada dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi atau T20 sejak tahun lalu.
Ia disusuli dengan subsidi dan kawalan harga bagi ayam ditamatkan pada 1 November 2023.
Pada Jun 2024 pula, pelarasan subsidi diesel turut dilaksanakan kepada 1.4 juta kenderaan di Semenanjung.
Sementara minggu lalu, Anwar memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi pembiayaan pendidikan anak orang kaya di sekolah awam terbaik negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah tersebut menunjukkan kerajaan cakna dan mahu golongan berpendapatan tinggi punya tanggungjawab moral terhadap ruang pendidikan kepada golongan rentan yang lebih memerlukan.
Terbaharu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup agar subsidi telur ayam gred A, B dan C ditamatkan sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.
Pada tahun lalu saja, kerajaan memperuntukkan RM927 juta untuk subsidi telur ayam.
Ujar Anwar di Dewan Rakyat, sekali pun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup tetapi hakikatnya ia lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah telah meningkatkan ketirisan serta penyeludupan ke luar negara, malah turut dihirup oleh lebih 3.5 juta orang asing.
Biarpun mengambil keputusan tidak popular, tindakan kerajaan melaksanakan pelarasan tarif elektrik dan apungan harga barangan keperluan tertentu bukanlah untuk mendatangkan kesakitan atau penderitaan kepada rakyat sebaliknya majoriti rakyat akan terus menikmati subsidi yang mereka patut miliki.
Tegasnya, golongan kaya dan industri besar mesti membayar apa yang sepatutnya.
Berdasarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) yang dikeluarkan pada tahun 2020, B40 mewakili golongan berpendapatan rendah dengan purata pendapatan bulanan di bawah RM4,850, manakala M40, yang juga kumpulan isi rumah pertengahan, dengan purata bulanan RM4,851 hingga RM10,970.
Bagi pengelasan T20 pula, ia adalah kumpulan isi rumah tertinggi penduduk di negara ini, dengan pendapatan bulanan RM10,971 dan ke atas. Dilaporkan sebanyak RM58.1 bilion telah diperuntukkan kerajaan untuk keseluruhan subsidi tahun ini sahaja dalam usaha membantu rakyat khususnya golongan rentan.
Agihan peruntukan itu mengikut sektor termasuk kepenggunaan, sara hidup, pendidikan, biasiswa pinjaman, pertanian, faedah dan lain-lain.
Rasionalisasi subsidi secara berfasa dipercayai akan diteruskan pada tahun hadapan apabila pembentangan Belanjawan 2025 minggu depan dijangka memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu mengurangkan kos sara hidup, meningkatkan taraf hidup rakyat, dan memajukan pembangunan negara.
Anwar menegaskan bahawa rasionalisasi subsidi akan menjadi keutamaan, termasuk pelanjutan subsidi diesel bersasar ke Sabah dan Sarawak serta pemansuhan subsidi petrol RON95 yang disasarkan kepada semua.
Diharap segala pelaksanaan penyasaran subsidi memakmurkan negara dengan mengembalikan semua agihan kepada rakyat secara keseluruhannya.
* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!